SEPANG- Kerajaan masih berusaha untuk menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun, kata Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Merujuk kepada kes perkahwinan bawah umur terbaharu yang berlaku di Kelantan, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pegawai-pegawainya sedang meneliti kes tersebut.
“Pegawai-pegawai saya ada di sana sekarang, mereka telah berjumpa dengan gadis tersebut dan kami sedang meneliti perkara ini.
“Mereka ada undang-undang yang mengatakan jika anda melanggar undang-undang tersebut, anda akan didenda.
“Kami pula (kerajaan persekutuan) perlu mematuhi undang-undang negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taska Kista @RedQ di sini hari ini.
Menurut akhbar New Straits Times, gadis berusia 15 tahun itu telah dikahwinkan dengan seorang lelaki berusia 44 tahun di Tumpat, Kelantan pada Julai lalu selepas mendapat kebenaran dari mahkamah syariah.
Gadis yang mempunyai 12 adik beradik itu dikahwinkan oleh ibu bapanya bagi mendapatkan kehidupan yang lebih baik.-MalaysiaGazette