Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad. foto SYAFIQ AMBAK, 18 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kelewatan Kementerian Persekutuan menggazetkan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 yang tertangguh sejak 10 tahun lalu didakwa berpunca daripada tekanan daripada pemaju hartanah.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengemaskini semula pelan terbabit agar pemaju tidak sewenang-wenangnya menukar status tanah untuk meraih keuntungan.

“Pelan ini lambat digazetkan disebabkan banyak tekanan diterima daripada segelintir pemaju yang tidak mahu ia digazetkan supaya memberi mereka kebebasan untuk membuat pembangunan sesuka hati.

“Pemaju hartanah terbabit ini boleh buat tukar status dan raih keuntungan, tak payah buat rumah tapi buat kedai dan banyak perkiraan mereka.

“Sebab itu kita gesa ia digazetkan secepat mungkin,” katanya kepada MalaysiaGazette di Pusat Khidmat Keadilan Parlimen Setiawangsa, di Taman Sri Rampai, Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Nik Nazmi berkata, walaupun pelan itu disediakan ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, namun PH sedia meneruskannya selagi mana ia memberi manfaat kepada rakyat.

“Kita tidak kira siapa sediakan pelan ini, kalau benda itu perkara yang baik, saya fikir Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad harus teruskan.

“Kita kena kemaskini kerana ia disediakan sejak 10 tahun lepas, jadi banyak tanah terbabit dikatakan tanah kediaman tetapi hari ini jadi benda lain (tukar status).

“Isu itu perlu diselaraskan supaya ia menggambarkan realiti terkini dan secara semangatnya saya fikir tiada masalah untuk kita kekalkan pada masa depan,” katanya.

Katanya, beliau menyambut baik saranan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang tidak mahu pelan itu dipengaruh parti politik namun tiada salahnya jika pemimpin politik turut memberi pandangan.

“Paling penting ada satu proses telus terbuka melibatkan pihak-pihak berkepentingan iaitu penduduk, NGO termasuk pemaju mereka juga ada kepentingan dan ahli parlimen.

“Saya lihat tiada masalah untuk beri pandangan (orang politik) tapi biarlah perlaksanaannya dibuat oleh pihak profesional,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast