Datuk Saifuddin Nasution Ismail
Datuk Saifuddin Nasution Ismail. foto FAREEZ FADZIL, 21 SEPTEMBER 2018

PETALING JAYA – Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menolak dakwaan keahlian parti itu yang melonjak naik secara mendadak adalah disebabkan oleh proses pemilihan, November nanti.

Menurut beliau, terdapat pelbagai faktor penentu kepada lonjakan itu antaranya, PKR dilihat sebagai sekutu kuat dalam kerajana Pakatan Harapan (PH) selain Bersatu, DAP dan Amanah.

“Lonjakan itu berlaku kerana pertama PKR sebagai sekutu dalam Pakatan Harapan telah membentuk kerajaan. Magnet itu lebih kuat dari sebelum itu Keadilan sebagai pembangkang.

“Kedua, kemasukan beramai-ramai itu juga menunjukkan keyakinan baru, khususnya rakyat Malaysia terhadap PKR,” katanya selepas satu sidang media diadakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat parti itu.

Media semalam melaporkan sejak Jun lalu, keanggotaan PKR meningkat secara mendadak yang mana 221,019 orang menyertai parti itu antara 6 hingga 25 Jun tahun ini.

Untuk rekod, PKR kini mencatatkan keahlian seramai 900,000 sehingga Jun tahun ini berbanding Mei tahun ini pada paras 500,000 ahli sahaja.

Saifuddin berkata, daripada jumlah itu 840,000 ahli sahaja yang layak membuang undi pada pemilihan kali ini.

“Yang layak mengundi adalah ahli yang mendaftar sehingga 26 Jun lalu. Mereka itu layak untuk mengundi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast