Penolong Pengurus Unit Naziran dan Seranta Bahagian Agihan Zakat MAIWP, Muhammad Saiful Hafiz Abdullah berjumpa dengan seorang wanita ketika Program Jejak Gelandangan bersama MAIWP di ibu kota Kuala Lumpur pada malam tadi. Foto MUHAIMIN MARWAN, 08 DISEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Meskipun golongan gelandangan tempatan kian berkurangan di sekitar ibu negara, namun Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP) meneruskan usaha menyantuni golongan rentan ini agar mereka keluar daripada garis kemiskinan tegar.

Penolong Pengurus Bahagian Agihan Zakat MAIWP, Muhammad Saiful Hafiz Abdullah berkata, usaha yang dilakukan ini kerana golongan gelandangan dan asnaf ini merupakan tangggungjawab yang diamanahkan oleh pembayar zakat.

“Kita positif, jumlah mereka makin berkurangan, dan lihat hari ini agak sukar mencari golongan gelandangan. Mungkin ada sebahagiannya pun adalah warga asing, kalau warga tempatan memang ketara sangat berkurangan.

“Antara sebabnya adalah, MAIWP telah menyantuni mereka dengan mendapatkan bilik sewa sekitar lorong Chow Kit ini iaitu bantu membayar sewa bulanan dan ini dapat mengurangkan secara majoriti (asnaf dan gelandangan) yang besar,” katanya.

Penolong Pengurus Unit Naziran dan Seranta Bahagian Agihan Zakat MAIWP, Muhammad Saiful Hafiz Abdullah menyampaikan sumbangan makanan dan minuman sempena Program Jejak Gelandangan bersama MAIWP di ibu kota Kuala Lumpur pada malam ini. Foto MUHAIMIN MARWAN, 08 DISEMBER 2024

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas menyantuni 300 gelandangan dalam Program Jejak Gelandangan MAIWP 2024 di sekitar Jalan Chow Kit, malam tadi.

Ia turut dihadiri hampir 100 peserta melibatkan wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan 40 pelajar Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz Maiwp (SMISTA) yang turun padang mendekati golongan tersebut.

Tambah Muhammad Saiful Hafiz, program tersebut akan diteruskan dan ia adalah tugasan yang digarapkan MAIWP untuk turun padang secara berkala pada waktu malam bagi menyantuni kumpulan sasar.

Khairul Azmir Chek antara gelandangan yang ditemui pada Program Jejak Gelandangan bersama MAIWP di ibu kota Kuala Lumpur pada malam ini. Foto MUHAIMIN MARWAN, 08 DISEMBER 2024

Sementara itu, salah seorang golongan asnaf, Khairul Azmir Chek, 51, yang ditemui melahirkan rasa lega apabila kos perbelanjaan hariannya terutama untuk penginapan dibiayai oleh MAIWP

“Saya dah mohon bantuan Baitulmal ini sejak setahun yang lalu, pada mulanya prosesnya agak sukar tapi alhamdulilah saya dapat dan MAIWP bayarkan sewa bilik saya di sini sebanyak RM550.

“Saya tiada pekerjaan tetap hanya bekerja sambilan sebagai sekuriti, dan bila ada bantuan macam ini hidup saya terjamin sedikit dan tidak perlu tidur di sekitar kaki lima di sini,” katanya yang bersyukur dengan bantuan tersebut.

Pengerusi Yayasan Bakti Warisan, Datuk Seri Izwan Shah bercakap kepada sidang media selepas selesai Program Jejak Gelandangan bersama MAIWP di ibu kota Kuala Lumpur pada malam tadi. Foto MUHAIMIN MARWAN, 08 DISEMBER 2024

Dalam pada itu, menurut Pengerusi Yayasan Bakti Warisan, Datuk Seri Izwan Shah Arif Shah berkata, penglibatan badan NGO dalam program terbabit amat membantu meringankan lagi beban golongan yang memerlukan.

“Ini pertama kali kami terlibat dengan MAIWP, ditambah kami ada sumbangan dana daripada beberapa pihak khususnya syarikat yang membayar zakat dan menamakan pihak yayasan sebagai wakalah (wakil).

“Jadi dengan amanah yang kami pegang ini dan ada pemintaan daripada NGO, kita sedia menyambut dan menyantuni golongan rentan di kawasan bandar untuk menyampaikan amanah yang kita pegang itu bagi disalurkan.

“Kita memilih MAIWP kerana ia adalah agensi yang mengurus, mengawal dan membantu golongan ini termasuk menyalurkan dana zakat, jadi kita adalah lebih baik menjadir rakan strategik MAIWP untuk sama-sama dalam program sebegini,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau juga berharap syarikat swasta atau badan NGO lain untuk membayar zakat kerana MAIWP mempunyai pelbagai program dalam membantu memberikan kumpulan sasar menerusi tanggungjawab yang telah diamanahkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast