Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran

KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dengan terbuka menyatakan sokongan  tidak berbelah bahagi serta undi beliau kepada calon jawatan Timbalan Presiden, Datuk Seri M. Saravanan.

Jelas Vigneswaran, walaupun Tan Sri M. Ramasamy juga calon jawatan nombor dua itu namun undi beliau sudah muktamd.

“Sebenarnya, pada saya kedua-dua pemimpin ini sangat penting. Saravanan merupakan antara pemimpin awal yang kekal setia sehingga kini, tidak berhenti berjuang dan telah banyak berkorban untuk parti. Beliau juga merupakan seorang Ahli Parlimen dari parti ini.

“Itu adalah sebab mengapa undi saya untuk Saravanan. Tetapi, Ramasamy juga bukan calang-calang orang, malah merupakan seorang ahli perniagaan yang sangat berjaya ketika ini. Sudah tentu saya gembira jika dirinya menang kerana kepentingan parti menjadi fokus saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan apabila diminta mendedahkan siapakah yang menjadi pilihan beliau bagi jawatan kedua tertinggi dalam parti terbesar masyarakat India di negara ini.

Saravanan yang juga merupakan Ahli Parlimen Tapah akan ‘bertembung’ dengan bekas Pengerusi MIC Perak, Ramasamy bagi merebut jawatan Timbalan Presiden yang sebelum disandang oleh Datuk Seri SK Devamany.

Namun demikian, Vigneswaran tidak pula mendedahkan siapakah pilihan beliau bagi jawatan lain yang dipertandingkan seperti Naib Presiden yang akan ditandingi oleh 10 calon manakala Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) seramai 44 calon.

“Saya tidak mahu beri ‘laluan mudah’ kepada setiap yang bertanding ketika ini, ini sebenarnya peluang kepada setiap calon ini untuk bukan sahaja berkempen malah turun padang bertemu dengan akar umbi MIC.

“Biar mereka sendiri berjanji dan komited dengan apa yang mampu dilakukan oleh mereka. Akar umbi boleh tentukan siapa yang menjadi pilihan untuk terus meneraju parti ini. Saya sebenarnya memberikan peluang kepada semua untuk mengukuhkan kembali parti tertua masyarakat India di negara.

“Hakikatnya, anda semua perlu tahu. MIC tetap relevan dan tidak pernah menjadi soal adakah masa depan parti sudah ‘gelap’. Anda tengok sendiri betapa bersemangatnya mereka untuk terus bertanding dan mempunyai jawatan dalam parti.

“Berpusu-pusu dan bersemangat, mana anda boleh kata MIC tidak relevan atau tidak di sokong lagi? Mana datangnya mereka semua ini? Saya nampak begitu ramai mahu terus berkhidmat dalam MIC demi masyarakat India di luar sana. Parti ini masih lagi relevan,” tegasnya. – Malaysia Gazette