Seorang wanita hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebabkan penderitaan terhadap enam ekor kucingnya, April lalu.
Kucing boleh memberi imej Presiden yang lebih lembut dan insani- Foto Hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang wanita hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebabkan penderitaan terhadap enam ekor kucingnya, April lalu.

Nur Atikah Dzolkipli, 27, selaku Orang Kena Saman (OKS), mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Wanita itu yang bekerja sebagai kordinator di sebuah syarikat logistik didakwa dengan secara tidak munasabah menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya kepada enam ekor kucing di rumahnya di Taman Sri Sinar, Segambut di sini pukul 12.30 tengah hari pada 17 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dihukum penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duannya sekali, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Hasiah Musa mencadangkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin namun Nur Atikah yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan dia mengalami masalah kewangan dan rumahtangga.

Mahkamah membenarkan Nur Atikah diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Nov untuk sebutan semula kes.

Hanya tiga ekor kucing yang dimasukkan ke dalam dua sangkar kucing dibawa ke mahkamah dan diletakkan di luar mahkamah manakala tiga ekor kucing lagi telah mati.

Kucing itu menarik perhatian ramai sehingga ada yang mengambil gambar haiwan itu.

Difahamkan OKS membiarkan kucing itu tanpa menjaganya dan semasa Pegawai Veterinar pergi ke rumah OKS mendapati kucing itu yang berada di dalam sangkar, dipenuhi tahi.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast