SABAK BERNAM – Pemilhan PKR Cabang Sabak Bernam yang berlangsung hari ini sedikit kecoh berikutan berlaku insiden tolak-menolak dan bertikam lidah antara perwakilan dan petugas di pintu masuk Dewan Tun Razak, Sabak Bernam, di sini.

Rata-rata perwakilan menyatakan rasa tidak berpuas hati apabila terpaksa beratur panjang seawal pukul 8 pagi sebelum dibenarkan memasuki dewan untuk mengundi.

Seorang perwakilan, Rosli Abdullah Sani, 51,berkata beliau kecewa kerana hanya 10 perwakilan sahaja dibenarkan masuk ke dewan pengundian pada satu-satu masa, manakala yang lain terpaksa menunggu lama dalam keadaan berpanas.

“Dah dekat dua jam kami terpaksa menahan terik matahari tanpa disediakan khemah menunggu…saya sampai jam 8 pagi tadi, tapi jam 11 pagi baru dibenarkan masuk ke pusat mengundi.

“Keadaan itu juga mengundang rasa tidak selesa perwakilan terutama bagi Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Seorang lagi perwakilan Harun Sam, 48, berkata sepatutnya sistem pemilihan bertambah baik dan bukannya menyusahkan perwakilan yang hadir untuk mengundi.

“Walaupun ini pertama kali diperkenalkan sistem e-voting namun ia dilihat tidak dapat menambah baik sistem pemilihan manual yang dibuat sebelum ini,” katanya.

Hari ini berlangsung fasa pertama proses pemilihan PKR peringkat Selangor dengan membabitkan sembilan cabang daripada 22 cabang di negeri ini.

Sembilan cabang yang terlibat adalah Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Serdang, Kelana Jaya, Subang, Kapar, Kota Raja dan Sepang yang mempunyai lebih 108,000 anggota layak mengundi.

Proses pengundian menggunakan kaedah e-voting itu akan berlangsung dari 9 pagi sehingga 5 petang.

Sementara itu di KLANG, lokasi dewan pengundian bagi pemilihan Cabang Kapar di Kompleks Rakan Muda Klang turut disifatkan tidak strategik dan menyusahkan anggota parti yang hadir untuk mengundi .

Tinjauan Bernama mendapati keadaan jalan masuk ke dewan agak sempit menimbulkan kesesakan lalu lintas serta tempat letak kereta yang terhad menyebabkan anggota yang layak mengundi terpaksa berjalan sejauh satu kilometer untuk ke kompleks tersebut.

Calon Ketua Cabang PKR Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid ketika ditemui pemberita di dewan tersebut berkata lokasi itu tidak strategik sehingga menyebabkan kesesakan keterlaluan.

Selain kesesakan lalu lintas, beliau berkata kekurangan jumlah set komputer iaitu hanya sebanyak 120 komputer disediakan untuk mengundi turut menyebabkan pengundi terpaksa beratur lama.

“Kita memang tidak menjangkakan kehadiran pengundi yang tinggi seperti ini… patut ditambah lagi set komputer kepada 200 buah supaya pengundi tidak tunggu lama,” katanya yang turut bertanding bagi jawatan Exco Majlis Pimpinan Pusat.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast