Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub
Datuk Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji antara lain untuk membuka monopoli Padiberas Nasional Bhd (Bernas) sebanyak 30 peratus pada tahun depan kepada pemain industri padi dan beras yang lain sebelum konsesi syarikat itu tamat sepenuhnya pada 2021.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata ini adalah antara pandangan beberapa pihak yang dikemukakan sebagai satu kaedah ‘soft landing’ sebelum industri berkenaan dibuka sepenuhnya tanpa monopoli Bernas.

Beliau berkata kerajaan tidak mahu bersifat tergopoh-gapah untuk memperkenalkan model baharu bagi menggantikan Bernas kerana ia melibatkan soal keselamatan makanan negara.

“Sebagai menteri yang diamanahkan, visi kita tidak setakat melihat untuk kita mewujudkan satu badan bagi menggantikan Bernas tanpa lihat visi lebih jauh. Isu makanan adalah isu keselamatan negara.

“Maka beberapa pandangan lebih jelas dan luas perlu diperhitungkan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat kepada pertanyaan Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) yang mahu tahu sama ada kerajaan bercadang menubuhkan semula Lembaga Padi dan Beras Negara bagi mengambil alih fungsi Bernas.

Salahuddin berkata kajian lanjut mengenai model baharu bagi menggantikan monopoli Bernas sedang dibincang satu jawatankuasa khas dianggotai lapan kementerian dan diketuai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Ini satu perkara besar…oleh itu kita berbincang dalam aspek pertumbuhan pembangunan lestari dan trend mega yang harus kita perhitungkan,” katanya.

Menurutnya, kajian komprehensif itu harus melihat aspek urbanisasi dengan tanah pertanian dan bendang semakin mengurang, pertambahan penduduk menjelang 2050 dengan populasi negara diunjur mencecah 45 juta orang serta perubahan gaya hidup dan diet masyarakat.

Beliau berkata isu menamatkan monopoli Bernas sebagaimana dijanji dalam manifesto PH pada pilihan raya umum lalu adalah satu kewajipan yang kerajaan berikrar untuk merealisasikan.

Dalam masa sama, katanya kerajaan akan terus mempertahankan lima kewajipan sosial terhadap petani apabila memecahkan monopoli Bernas.

“Pertama menyelenggara dan mengurus stok penimbang negara, kedua membeli padi dari petani dengan harga minimum dan terjamin, ketiga bertindak menjadi pembeli terakhir petani, keempat mengurus pembayaran subsidi kepada petani di bawah Skim Subsidi Harga Padi, kelima menguruskan skim pengilang Bumiputera,” katanya.

Salahuddin berkata pengeluaran padi negara turut dilihat tidak meningkat berbanding negara luar memandangkan keluasan jelapang padi negara hanya sekitar 600,000 hektar, berbanding Thailand sekitar 10 juta hektar dan Vietnam, lapan juta hektar.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast