BERLIN – Para pegawai tertinggi Jerman tidak berpuas hati dengan penjelasan Arab Saudi berhubung kematian wartawan, Jamal Khashoggi, dengan Canselor Jerman, Angela Merkel dan Menteri luar negara itu, Heiko Maas mengutuk insiden tersebut.
“Kami menjangka ketelusan daripada Arab Saudi mengenai keadaan kematiannya.
“Maklumat yang diperolehi mengenai kejadian di konsulat di Istanbul tidak mencukupi,” kata mereka dalam kenyataan bersama, lapor RT.
Wartawan tersebut hilang semasa melawat konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki pada 2 Oktober lalu.
Pada awalnya, Arab Saudi mengekalkan pendirian bahawa Khashoggi masih hidup semasa meninggalkan bangunan konsulat itu namun pada Jumaat lalu, mengaku lelaki itu sebenarnya telah dibunuh semasa ‘bertumbuk’.
Bagaimanapun masih tidak jelas di mana mayat wartawan itu berada dengan beberapa laporan media mencadangkan dia mungkin telah dibunuh, anggotanya dikerat-kerat dan dibawa keluar daripada bangunan konsulat tersebut oleh pasukan penembak Arab Saudi. – Agensi