KUALA LUMPUR – September yang lalu, Elfira Loy mengikat tali pertunangan dengan Faris Khairol Anuar secara tertutup.
Pertunangan kali kedua pelakon ini diadakan secara tertutup dan hanya keluarga kedua-dua belah pihak saja yang meraikannya.
Setelah melalui fasa sukar apabila tali pertunangannya sebelum ini putus di tengah jalan, Elfira kini lebih terbuka untuk bercerita tentang kehidupannya sekarang.
Walaupun baru mengenali Faris beberapa bulan sahaja sebelum mengikat tali pertunangan, Elfira Loy berkata, ibunya Filzah Yusuff yakin pilihannya itu mampu menjaganya.
Ini kerana, Faris dilihat sebagai seorang lelaki yang mempunyai visi masa depan yang jelas.
“Faris hormat dan faham bagaimana keluarga saya. Malah, dia ada visi masa depan. Apa yang lebih penting, emak saya percaya dia boleh menjaga saya. Semuanya berlaku dalam tempoh pantas dan muda,” katanya.
Tidak mahu terlalu gembira, Elifra sentiasa berdoa agar hubungannya kali ini berkekalan sehingga ke jenjang pelamin.
“Saya bersyukur dengan apa yang terjadi dan hargai setiap detik. Tidak lupa, saya berdoa ikatan kali ini adalah yang terbaik buat saya dan berkekalan hingga jenjang pelamin. Keluarga saya berpegang kepada adat. Jadi, kami membuat keputusan untuk bertunang dan mendirikan rumah tangga. Semoga semua perancangan dipermudahkan,” tambahnya.
Faris, 27, dilaporkan seorang pengurus besar di sebuah syarikat telekomunikasi dan anak seorang kenamaan bergelar Datuk.- MalaysiaGazette