KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman mengakui mula bosan dengan dunia popular dan imej gila-gila yang sering menimbulkan kontroversi.
Justeri beliau mahu mengurangkan aktiviti-aktiviti seni dan mahu lebih mendekatkan diri dengan agama.
“Sebenarnya dalam tempoh beberapa bulan ini saya telah didatangi perasaan yang meminta supaya lebih merendah diri dan jangan terlalu ke depan dalam dunia hiburan.
“Saya menangis dalam solat dan terfikir yang saya perlu kurangkan membuat perkara yang tidak baik dan sebaliknya perlu mendekatkan diri dengan Allah.
“Umur juga sudah lanjut dan sebenarnya saya sendiri tak sanggup lihat apa yang anda tonton mengenai sikap saya di televisyen,” katanya dipetik sebagai berkata hari ini.
Beliau terdahulu ditemui ketika sidang media konsert minggu keempat Gegar Vagansa musim ke-5.
Kata Aliff, dia mula sedar dan enggan terlalu ‘hanyut’ dalam dunia seni semata-mata.
“Saya sudah berada dalam industri kosmetik lebih daripada 10 tahun, sudah sampai satu tahap saya dah rasa tak seronok keluar TV.
“Sebelum ini, saya terlalu hanyut dengan keseronokan, kehidupan saya sudah ada segala-galanya tapi saya kosong,” katanya lagi. -MalaysiaGazette