Nik Mohamad Abduh
Nik Mohamad Abduh

KUALA LUMPUR – Kes Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada tahun 2012 untuk merujuk kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan berhubung dengan isu penasaban anak tidak sah taraf seharusnya dihormati.

Ini kerana kes melibatkan penasaban anak tidak sah taraf seorang muslim itu sewajarnya melalui pandangan yang teliti oleh para ulamak dan rujukan terhadap Fatwa Kebangsaan adalah tindakan yang tepat.

Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak tindakan JPN dengan menjelaskan fatwa tidak mempunyai force of law dan legal basis untuk menentukan penasaban anak tidak sah taraf berdasarkan Seksyen 13(2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1975 (BDRA).

Katanya, kes perbicaraan ‘bin Abdullah’ itu sepatutnya melalui proses de novo (merujuk bahasa kimia) di hadapan tujuh panel hakim Mahkamah Persekutuan.

“Namun Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum menjelaskan, ia akan diputuskan oleh tiga hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini sahaja,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Pada Khamis minggu lalu, Malanjum yang mempengerusikan panel tujuh hakim yang bersidang ketika itu dilaporkan berkata, keputusan kes berkenaan akan ditentukan pada satu tarikh lain oleh panel asal.

Ini berikutan rayuan JPN dan dua pihak lagi terhadap keputusan yang membenarkan anak tidak sah taraf beragama Islam ‘dibin’ atau ‘dibintikan’ kepada bapanya tidak akan didengar semula oleh Mahkamah Persekutuan.

Keputusan penting itu akan diumumkan oleh panel tiga hakim meskipun dua daripada lima hakim yang mendengar rayuan tersebut telah bersara.

Menurut Nik Mohamad Abduh, penghakiman hakim Mahkamah Persekutuan itu kelak akan menentukan sejauhmana fatwa diberi kuasa ‘mengikat’ keputusan Pendaftar Kelahiran dan Kematian (BDRA) berhubung penasaban anak tidak sah taraf.

“Saya menggesa supaya pindaan atau akta baru diperkenalkan supaya fatwa turut diberikan kuasa rujukan bagi sebarang keputusan terutama di bawah BDRA yang melibatkan kes penasaban anak tidak sah taraf umat Islam.

“Setakat ini, fatwa hanya mempunyai kuasa mengikat dalam kes mahkamah syariah sahaja.

“Ini kerana penasaban anak adalah terikat di bawah kekeluargaan Islam dan kesalahan padanya akan membawa implikasi hukum agama yang besar,” ujar beliau.

Justeru, menurut bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia itu, fatwa agama adalah rujukan penting bagi sesuatu tindakan termasuk oleh agensi kerajaan Persekutuan seperti JPN.

Hakikatnya, jelas beliau, ketetapan sesuatu fatwa telah mengambilkira pelbagai isu berbangkit sebelum mengeluarkan sebarang pendirian dan amat wajar menjadi rujukan oleh semua pihak khususnya melibatkan umat Islam.

“Meskipun memahami kes ini akan diputuskan Mahkamah Persekutuan kelak, ia sepatutnya mendapat perhatian pihak berwajib supaya langkah strategik diambil bagi mengelak konflik lebih besar pada masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette