Najib Razak
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap kepada media selepas dihadapkan pertuduhan kes pecah amanah melibatkan wang milik Kerajaan Malaysia di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion yang dihadapinya adalah demi kepentingan negara.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau sedikitpun tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi daripada wang tersebut.

Najib berkata, enam pertuduhan pecah amanah yang dikenakan pagi tadi bertujuan menjelaskan hutang negara dalam tempoh tertentu yang telah ditetapkan.

“Saya hendak sebutkan bahawa pertuduhan pertuduhan yang dikenakan ke atas saya ialah terlalu umum dan tidak munasabah.

“Satu lagi yang nak dinyatakan ialah dalam pertuduhan itu tidak ada yang dikaitkan dengan apa jua manfaat yang saya terima daripada apa-apa keputusan saya.

“Apa yang kita lakukan adalah untuk menentukan kepentingan negara dalam urusan tertentu misalnya dalam pembayaran balik hutang yang perlu kita dijelaskan.

“Kalau tak dijelaskan maka ia akan memudaratkan ekonomi negara dan rakyat pada keseluruhannya,” kata bekas Menteri Kewangan itu kepada pemberita semasa meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur petang tadi.

Pagi tadi Ahli Parlimen Pekan itu bersama Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dituduh pecah amanah melibatkan berjumlah RM6.6 bilion antara 2016 hingga 2018.

Kedua dua bekas pemimpin itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 14, Azman Ahmad dan mohon dibicarakan.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 November ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin dengan dua penjamin melibatkan wang RM1 juta dengan syarat RM500,000 perlu dijelaskan hari ini dan selebihnya dalam tempoh 10 hari.

Mereka turut dilarang mengganggu saksi kes sehingga perbicaraan selesai dan pasport antarabangsa masing-masing diarah diserahkan kepada mahkamah.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Presiden UMNO itu berkata, keputusan menyelesaikan beberapa aspek daripada segi pelaksanaan projek-projek tertentu telah dilakukan mengikut kontrak yang termeterai.

Justeru Najib menyimpulkan apa sahaja yang telah beliau lakukan boleh dibuktikan di mahkamah sebenarnya adalah urusan pentadbiran negara tanpa unsur kepentingan peribadi.

“Ia tidak ada apa-apa unsur kepentingan bagi diri saya ataupun pihak Tan Sri Irwan Serigar dalam perkara yang dikaitkan dengan tuduhan di mahkamah,” ujarnya.

Menurut Najib, pihaknya termasuk peguambela beliau juga musykil kerana senarai pertuduhan hanya diserahkan kepada peguam beliau lima minit sebelum pendakwaan pada pagi tadi.

Katanya, ia bukan cara yang sepatutnya dilakukan pentadbiran dalam konteks undang undang dilaksanakan.

Najib yang ditanya apakah tuduhan dan pendakwaan seumpama akan terus berlaku memandangkan beliau hadir ke mahkamah beberapa kali berkata: “Saya tidak pasti… kalau kita lihat pada pertuduhan ini nampak jelas mereka cuba untuk memperbanyakkan (kes pendakwaan), mungkin ada tujuan tertentu daripada perbuatan itu.

“Tapi saya berharap jangan terkeliru dengan angka sebab kalau disebutkan angka pecah amanah RM6.6 bilion boleh menggemparkan.

“Tetapi dalam pertuduhan itu semuanya disabitkan dengan pelaksanaan projek-projek dan pembayaran hutang sahaja.

“Setelah kita terima wang kamu perlu membayar balik kalau tidak akan dilanda maslaah kejatuhan pasaran bon dan itu serius. Jadi janganlah ada tanggapan bahawa seolah-olah duit sebanyak itu sudah hilang..tidak..tidak,” katanya. – MalaysiaGazette