Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Sarawak merupakan antara negeri tertinggi yang menerima guru baharu tahun ini iaitu seramai 1,697 orang daripada keseluruhan 13,749 orang guru baharu lantikan tetap dan lantikan kontrak bagi sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penempatan guru baharu itu hasil kerjasama KPM, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan Kerajaan Negeri Sarawak dalam usaha mengatasi masalah kekurangan guru di negeri tersebut.

Jelas beliau, khusus bagi menangani isu kekurangan guru di Sarawak juga, SPP telah bersetuju dengan cadangan KPM untuk melaksanakan inisiatif Pengambilan Khas Sarawak Tahun 2024.

Terkini, ujar beliau, SPP juga telah mengumumkan keputusan temu duga Urusan Pengambilan Guru tahun 2024 (pasaran terbuka) dan Pengambilan Khas Sarawak pada 11 Disember lalu.

“Seramai 7,645 calon telah berjaya ditawarkan pelantikan oleh SPP dalam kedua-dua urusan pengambilan ini yang mana seramai 1,372 calon adalah bagi penempatan di Sarawak.KPM akan membuat penempatan ke sekolah bagi mengisi kekosongan sedia ada.

“Atas usaha tersebut, KPM telah berjaya meningkatkan peratus pengisian guru di Sarawak kepada 98.06 peratus,” katanya ketika sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Fadhlina (PKR-Nibong Tebal) menjawab soalan Chiew Choon Man (PH-Miri) berkenaan langkah-langkah yang diambil oleh KPM untuk mengatasi masalah kekurangan guru di Sarawak yang berlarutan sejak sekian lama.

Sementra itu, kepada soalan tambahan Choo Man berkenaan pendirian kerajaan untuk menyerap guru sementara atau guru sandaran sebagai guru tetap, Fadhlina berkata, urusan pengambilan guru baharu terletak di bawah bidang kuasa SPP selaku pihak berkuasa yang melantik.

Jelasnya, guru sementara atau guru sandaran yang berminat untuk menjadi guru tetap di bawah KPM perlu mengisi mengisi permohonan menerusi portal https://myspp.spp.gov.my.

“Prosesnya, mereka ini sama ada guru ganti atau guru yang berpotensi, mereka mesti mematuhi permohonan menerusi SPP, dan kita sangat menggalakkan guru-guru ganti ini, yang berminat dan berpotensi untuk membuat permohonan.

“Pastinya juga kita beri perhatian kepada semua aspek-aspek khususnya semasa temuduga yang dijalankan oleh SPP,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast