Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.
Ahmad Yakob.

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan hari membentangkan Belanjawan 2019 dengan defisit sebanyak RM35.07 juta, dan perancangan perbelanjaan sebanyak RM1.09 bilion berbanding anggaran hasil negeri sebanyak RM743.21 juta.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob ketika membentangkan Belanjawan 2019 bertemakan “Kemakmuran Negeri Kesejahteraan Rakyat” berkata, bagaimanapun defisit berkenaan menurun sebanyak RM6.67 juta atau 16 peratus berbanding 2018.

Beliau berkata defisit belanjawan negeri telah menurun secara konsisten dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini membabitkan RM70.69 juta pada 2015, RM45.61 juta (2016), RM42.65 juta (2017) dan RM41.74 juta (2018).

“Asas kepada penurunan defisit ini adalah pertambahan jumlah kutipan hasil yang disokong oleh urus tadbir yang baik yang diamalkan oleh jentera kerajaan negeri.

“Pengurangan jumlah defisit ini seiring dengan hasrat kerajaan untuk berbelanja secara berhemat dan mengikut keutamaan kerajaan serta dibuat selari dengan pendapatan kerajaan tahun 2019,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.-BERNAMA