SERDANG – Ramai dalam kalangan kita kenal P. Pavithra sebagai Miss Malaysia India 2018 yang sentiasa menguntum senyuman manis sepanjang masa.
Namun di sebalik senyuman dan gelaran itu sebenarnya tersembunyi keperitan hidup yang terpaksa dilalui anak muda berusia 24 tahun itu kerana sejak berusia setahun lagi kerana tidak mendapat kasih sayang seorang bapa.
Akhirnya Pavithra berjaya menggenggam segulung ijazah di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Ratu cantik itu berjaya membuktikan kesusahan hidup bukan penghalang mencapai cita-citanya untuk berjaya dalam dunia akademik serta segala bidang yang diceburinya hari ini.
Ketika ditemui, Pavithra mengakui tidak pernah melihat wajah bapanya kerana dia dan ibunya, R. Kaliamal, 48, ditinggalkannya tanpa sebarang tempat ‘bergantung’.
“Memang menyedihkan bila saya dan ibu yang sedang mengandungkan adik saya ditinggalkan bapa tetapi ibu saya seorang wanita yang tabah mengharungi cabaran tanpa berputus asa meneruskan kehidupan.
“Pada ketika saya berusia 14 tahun, saya terpaksa keluar dari Maktab Rendah Sains Mara Kuala Kubu Baharu semasa di tingkatan dua kerana kesempitan wang dan menduduki Penilaian Menengah Rendah di sekolah kerajaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Salak Tinggi.
“Kemudian, saya meneruskan pengajian tingkatan enam dengan sokongan moral ibu. Ketika itu saya akan perlu mengagihkan masa untuk belajar dan membantunya memasak awal pagi kerana ibu berniaga sambilan sebelum pergi sekolah,” katanya di Dewan Besar Konvokesyen UPM di sini.
Menurut Pavithra, dia sentiasa berulang alik ke sekolah dengan dihantar oleh ibunya menaiki motosikal setiap hari dan segala kos pendidikan ditanggung ibunya berseorangan.
“Waktu itu kami benar-benar memerlukannya ayah tidak bersama kami tapi emak saya berjaya menyara kami dengan pesanannya pendidikan satu-satunya peluang mengubah hidup kami dan ia terbukti hari ini,” ujarnya.
Pavithra juga berkongsi pengalamannya dinobatkan sebagai Pendebat terbaik Pertandingan Akhir Kategori Bahasa Melayu Pertandingan Debat Diraja Antara Institusi Pengajian Tinggi 2018.
Katanya, kebolehannya itu ada sejak dia kecil lagi kerana membesar dalam dalam masyarakat Melayu.
“Apatah lagi saya bercita-cita menjadi peguam tetapi kemahiran saya dalam Bahasa Inggeris menyebabkan guru menasihati supaya mengikuti ijazah dalam Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan saya gembira kerana berjaya merealisasikan impian ibu.
“Walaupun bidang model Miss India Malaysia hanya aktif sejak empat bulan lalu selepas diperkenalkan kawan-kawan tetapi kecenderungan saya dalam bidang pendidikan masih ada dan mahu melangkah lebih jauh.
“Ibu juga memasihati saya supaya membuat double degree dan saya memikirkan untuk memulakan jurusan undang-undang untuk merealisasikan impian menjadi peguam,” katanya yang mendapat ijazah dengan PNGK sebanyak 3.6 itu.
Sementara itu, Kaliamal berkata, sebagai ibu, beliau berbangga dengan pencapaian anaknya yang tidak mensia-siakan pengorbanannya sebagai ibu tunggal selama lebih dua dekad.
“Dia anak yang tabah dan bersemangat walaupun dia kelihatan hampir putus asa dengan kesusahan hidup, saya tidak pernah membiarkannya kecewa dalam pendidikan.
“Segala titik peluh saya dibalas tuhan menerusi pencapaian Pavithra sebagai seorang graduan berjaya hari ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette