Isu ponteng sesi Dewan Rakyat akhirnya mendapat perhatian Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof apabila membuat ketetapan agar menteri atau timbalan menteri menghadiri sesi soal jawab selepas ini.
Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof

KUALA LUMPUR – Isu ponteng sesi Dewan Rakyat akhirnya mendapat perhatian Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof apabila membuat ketetapan agar menteri atau timbalan menteri menghadiri sesi soal jawab selepas ini.

Menurutnya, undang-undang baharu itu bertepatan dengan peraturan mesyuarat yang turut diikuti di Parlimen UK.

“Peraturan Mesyuarat 21 telah tetapkan pertanyaan hendak dijawab oleh menteri dan timbalan menteri yang bertanggungjawab dengan hal-hal jawatan urusan mereka perlu hadir bagi menjawab pertanyaan yang dikemukakan.

“Setiap sesi soal jawab pertanyaan menteri harus dihadiri dan dijawab oleh menteri atau wakilnya, timbalan bagi menjawab persoalan-soalan yang dilontarkan selepas ini,” katanya dalam Dewan Rakyat. 

Beliau memberi maklum balas dan ketetapan tersebut selepas Ahli Parlimen Ayer Hitam (BN), Datuk Seri Wee Ka Siong membuat aduan kerana tidak berpuas hati apabila soalan yang diajukan kepada menteri tidak dijawab.

Sebaliknya, jawapan yang sepatutnya dijawab oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di jawab oleh Timbalan Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin.

Seharusnya ketika itu, Menteri KDN, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Timbalannya, Datuk Mohd Azis Jamman bertanggungjawab untuk memberi maklumbalas kepada Ka Siong.

Ka Siong yang juga merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut melahirkan rasa hairan bagaimana kerajaan baharu ini enggan memberi perhatian serius terhadap sesi Dewan di Parlimen.

“Ini bukan pasar malam, boleh datang dan pergi sesuka hati. Dulu, semua ini tidak berlaku. Kali pertama kita lihat Menteri dan Timbalan tiada untuk beri maklum balas. Ini tidak betul dan seharusnya tidak berlaku,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ka Siong turut menggesa supaya Speaker mengeluarkan arahan atau ketetapan peraturan berhubung ‘ponteng’ sesi soal jawab di Parlimen selepas ini memandangkan insiden ketidakhadiran berlaku dengan kerap sejak akhir-akhir ini. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast