KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan meneruskan Skim Pinjaman Pelajaran kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke luar negara.

Menurut Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Mara menerima peruntukan RM2 bilion bagi membiayai 65,000 pelajar di dalam dan luar negara bagi tahun ini.

“Kementerian melalui Mara sentiasa fokus dalam melahirkan graduan yang profesional dan kompeten serta mengutamakan kemudahan pinjaman pelajaran kepada pelajar-pelajar yang tergolong dalam kumpulan B40,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) mengenai sama ada kementerian masih meneruskan skim pinjaman pelajaran Mara.

Jawapan bertulis itu diedarkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut kementerian itu, permohonan pinjaman itu perlu memenuhi syarat antaranya kumpulan B40, cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun semasa (mendapat 8A) dan pelajar cemerlang Institusi Pendidikan Mara (IPMa). – Bernama