ISTANBUL – Jamal Khashoggi pernah melahirkan kebimbangan akan ditahan dan dipenjarakan seperti mana yang pernah berlaku kepada wartawan-wartawan negara itu sebelum ini.
Kebimbangan itu dinyatakan kepada tunangnya, Hatice Cengiz sebelum pergi di bangunan konsulat Arab Saudi pada 28 September lalu bagi mendapatkan dokumen untuk perkahwinannya.
“Dia tidak mahu pergi ke konsulat. Dia tahu tentang risiko yang perlu dihadapi.
“Dia tahu kemungkinan Arab Saudi akan menahannya dan dia tidak mahu menghadapi kesan akibat pendirian politiknya,” kata Cengiz.
Bagaimanapun, ketakutan itu hilang apabila Khashoggi menerima layanan baik daripada pekerja konsulat semasa datang pada 28 September itu.
“Dia begitu gembira dengan layanan baik,” kata tunang Khashoggi sambil menambah wartawan itu cukup merindui tanah airnya selepas hidup dalam buangan.
Lantaran itu, Khashoggi memberitahu, dia terasa ada hubungan emosi dengan pekerja konsulat semasa berada di dalam bangunan berkenaan.
Sehingga ke satu peringkat, Khashoggi berkata, betapa kebimbangannya selama ini tidak berbaloi.
Namun, perasaan bimbang wujud sedikit apabila mereka perlu ke bangunan konsulat bagi mendapatkan dokumen mereka semula pada 2 Oktober lalu.
“Sememangnya, selepas lawatan pertama yang positif, kami tidak mempunyai sebab untuk berfikir akan ada bahaya.
“Lawatan kedua kami penuh dengan harapan dan ia merupakan langkah terakhir sebelum kami disatukan. Kami mahu mendapatkan dokumen dan kemudian berkahwin dan meneruskan kehidupan kami.
“Tetapi kepercayaan kami sia-sia,” ujarnya.
Khashoggi didapati hilang selepas tidak keluar daripada bangunan konsulat pada 2 Oktober dan menyebabkan spekulasi mendakwa dia dibunuh oleh Arab Saudi.
Ketika itu Cengiz berada di luar konsulat menunggu Khashoggi.
Arab Saudi menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan tuduhan itu tidak berasas.
Bagaimanapun, selepas 17 hari, Arab Saudi mengesahkan kematian wartawan terkemuka itu di dalam bangunan konsulat disebabkan ‘pertikaian’.
Sehingga hari ini mayat Khashoggi masih belum ditemui.
“Kami masih belum tahu di mana mayat dia. Tidak ada penjelasan mengenainya. Dia belum dikebumikan, tanggungjawab terakhir ini belum kami tunaikan dan ini tidak dapat diterima dalam undang-undang Islam,” katanya. – MalaysiaGazette