Sivarrajh dan Rayer.

KUALA LUMPUR – Datuk Sivarraajh Chandran mencabar Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berdebat mengenai jasa dan sumbangan parti MIC selama lebih 60 tahun di negara ini di luar Dewan Rakyat.

Sivarraajh yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands mendakwa Rayer sebelum ini licik dan hanya berani berdebat di Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan belanjawan yang hanya mempunyai masa kurang daripada 20 minit sahaja untuk berbahas.

Ketika ditemui MalaysiaGazette, Sivarraajh menyatakan kesanggupan untuk berdebat dengan Rayer berdasarkan fakta kukuh berhubung jasa serta sumbangan MIC kepada masyarakat India selama parti terbesar India bertapak di Malaysia.

“Saya tiada masalah, kita ada fakta. Kita ada bukti tentang sumbangan, jasa, pengorbanan serta pembelaan yang kita lakukan untuk kaum India di negara ini, kita ada living examples. Parti ini berteraskan perjuangan untuk masyarakat India selama ini. Mari berdebat.

“Apa yang telah dilakukan oleh mereka yang banyak ‘bunyi’ ini selama ini? Anda hanya membangkang dan melakukan provokasi selama ini. Kini kerajaan dalam tangan anda, apakah logik akal untuk terus menjadi pembangkang dan menuding jari?

“Ini adalah masa keemasan anda untuk lakukan apa yang tidak mustahil yang selama ini anda laungkan itu. Biar kami pula menjadi ‘semak dan imbang’ untuk anda. Cukuplah buat gangguan serta provokasi, cukup-cukuplah tuding jari. Pergi bekerja sekarang,” tegas Sivarraajh.

Dalam pada itu, Naib Presiden MIC itu juga lantang menyoal apakah yang telah terjadi dengan setiap janji untuk kaum India yang telah banyak mengundi kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 lepas.

“Dulu sebelum PRU-14, dalam manifesto janji akan bina Sekolah Menengah Tamil yang pertama, apa sudah jadi? Realitinya program pra sekolah sedia ada di sekolah-sekolah Tamil tiada peruntukan spesifik.

“Barisan Nasional (BN) pada Belanjawan 2018 telah beri peruntukan sebanyak RM10 juta untuk bina 50 pra sekolah di sekolah-sekolah Tamil. Tidak cukup dengan itu, SEDIC juga telah beri peruntukan khas bagi tujuan pembelian perabot dan kelengakapan lain.

“Berkali-kali saya tanya sebelum ini, apakah yang sudah jadi dengan Malaysian Indian Blue Print, setiap kali tanya jawapan hanya retorik tidak berkesudahan. Saya tanya rancangan, dia jawab tentang hendak audit akuan.  Kuota pengambilan tujuh peratus ke universiti awam dan perkhidmatan awam entah ke mana.

“Dalam media terutamanya akhbar Tamil, muka depan kononnya kerajaan peruntuk RM4 bilion untuk tempoh 10 tahun akan datang, ini bermakna RM400 juta setiap tahun. Jadi mengapa tahun ini hanya RM150 juta sahaja? Apa jadi kepada bakinya? Ini adalah jumlah sangat rendah berbanding kerajaan BN,” tegasnya.

Sivarraajh memberitahu, sejak enam tahun lepas, BN melalui SEED telah membantu 28,215 usahawan India mendapatkan bantuan modal dan pinjaman berjumlah RM1.176 bilion.

“Sebanyak 70 peratus atau 26,825 orang dari jumlah tersebut adalah usahawan kecil yang mendapat RM347.5 juta manakala 30 peratus lagi adalah usahawan industri kecil dan sederhana yang menerima pinjaman berjumlah RM828.9 juta. Seramai 3,500 usahawan India juga menerima manfaat program latihan SEED.

“Seluruh kepimpinan PH menjaja cerita kononnya kerajaan BN mengabaikan masyarakat India, hakikatnya siapa yang abai siapa? Kini kuasa sudah sampai kepada anda, mengapa kini semuanya hanya retorik dan mustahil untuk dilakukan?

“Jangan terus ingat anda boleh jadi pembangkang dan hanya bercerita retorik untuk menang serta racuni pemikiran rakyat, anda kini adalah kerajaan yang mempunyai semuanya untuk lakukan apa yang anda kata tidak mustahil sebelum ini.

“Melalui belanjawan ini sahaja kita sudah nampak siapa sebenarnya yang menzalimi siapa? Siapa yang abaikan masyarakat India yang sebenarnya telah memberi anda kemenangan besar pada PRU lepas, kami bukan komuniti yang hanya sekadar memberikan anda undi semata-mata setiap kali menjelangnya PRU,” tegasnya.

Kelmarin, Sivarraajh ketika berbahas mengenai Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat telahn mempertikaikan kerajaan PH yang gagal menunaikan janji terhadap kaum India telah ‘diganggu’ oleh Rayer beberapa kali.

Sivarraajh beberapa mengulangi persoalan mengapa PH begitu berbangga mempunyai empat menteri dalam kalangan masyarakat India namun hal ehwal komuniti kaum itu seolah-olah terbiar daripada segi kebajikan serta peruntukan ekonomi.

Namun demikian, ketika sedang berbahas, beberapa kali Rayer yang juga merupakan bangkit menyoal yang telah ‘dilakukan’ oleh MIC dalam menjaga hal orang India selama ini.

“Saya mahu YB menjawab, apa yang telah dilakukan oleh MIC selama ini? Selama 60 tahun apa yang anda dalam MIC telah lakukan untuk membela masyarakat India?” soal Rayer.

Sivarraajh hanya meminta Rayer untuk tidak mengganggunya membahaskan belanjawan  kerana kesuntukan masa.

Namun demikian, Rayer berkali-kali bangkit dan bertanyakan soalan-soalan yang dianggap menggangu termasuk isu skandal 1MDB, MIC dan kepimpinan yang lepas.

Tindakan Rayer juga mendapat tentangan dalam kalangan wakil pembangkang sehingga menyebabkan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad yang mengajak Rayer keluar dewan untuk minum kopi.

“Saya rasa Yang Berhormat Jelutong (Rayer) perlukan kopi. Jom, saya belanja. Kita minum di luar. Biar mereka terus sesi perbahasan,” selorohnya.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Shivaraj tu bodoh sombong. Siapa mempertikaikan sumbangan MIC dlm pembangunan kaum India di Malaysia. MIC mula berlaku sumbang serta mementingkan diri selapas tokoh2 sebenar MIC spt K.Padmanathan, Manikavasagam, Nejar dan ada beberapa lagi yg benar2 berjuang untuk kaum minoriti India Malaysia yg kemudiannya mula menjauhkan diri dari MIC atau meninggal dunia. Ini ada lah disebabkan oleh sifat ketamakan pemimpin MIC dan juga korupsi serta penyelewengan kewangan dan menyalahgunakan kuasa dlm MIC. Sehinggalah sekarang MIC masih tidak pentingkan pembangunan kaum India tetapi nak tunjuk kuasa dgn kengakuhan dan kebiadaban spt yg baru berlaku iaitu Presiden MIC sekarang, SA Vigneshwaran berkelakuan kurang ajar dan biadap kepada kakitangan lapangan terbang antarabangsa KLIA VIP lounge pada 14hb Nov ini. Tak cukup ke nak buktikan ketidakupayaan MIC berjuang untuk kaum India di Malaysia ini. Memang 100% benar bahawa MIC lah yg menjaga kesejahteraan dan hak orang2 India di sini tapi itu dulu, semasa kepimpinan yg telus dan berwibawa serta tanpa korupsi. Semuanya berubah selepas pemimpin2 berkualiti tu dah tiada lagi atau meletak jawatan. Jadi, Shivaraj, jangan lah nak jadi hero sangat. Kawasan you Cameron Highlands pun you tak pandai jaga, membiarkan rakyat di situ dlm kesukaran dan kedesakkan. Awak menang di situ pun dgn korupsi dan penguggutan kaum minoriti di sana. Buatlah sesuatu yg berfaedah utk bangsa dan negara. Jangan hanya nak cari populariti murahan spt ini.

Comments are closed.