Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berucap pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ke-13 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 18 NOVEMBER 2018.

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) berisiko untuk kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 jika gagal melaksanakan janji-janji dan membawa suasana baharu kepada rakyat.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, sehingga kini rakyat masih tertanya-tanya di mana Malaysia Baharu yang sebelum ini dijanjikan oleh Pakatan Harapan.

“Apa itu Malaysia Baru? Rakyat masih menanti maknanya…Ia bukan stesen terakhir bagi PKR. Kita harus merumuskan formulanya.

“Jika gagal (berbuat demikian) kita akan menanti hukuman (daripada) rakyat.

“Tiada jaminan untuk kita menang dalam PRU ke-15. Relevannya PKR, apabila kita relevan dengan suara rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Keadilan Ke-13 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam.

Dalam pada itu, Nurul Izzah sekali lagi berkata, beliau sama sekali tidak berminat untuk menyertai jemaah Kabinet kerana berpendirian tanggungjawab masih boleh dijalankan tanpa memegang jawatan Menteri.

“Bukan setakat jadi pak Menteri sahaja boleh unaikan kerja,” menurutnya. – MalaysiaGazette