KUALA LUMPUR – Polis hari ini menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes langgar lari di Taman Equine, Seri Kembangan di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Ismadi Borhan berkata, suspek yang berumur dalam lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira 1.43 pagi selepas majikan kepada suspek menyerahkan lelaki berkenaan kepada polis.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek yang berasal dari Sarawak itu negatif dadah.

“Bagaimanapun darah suspek diambil bagi ujian alkohol dan suspek akan direman hari ini di Mahkamah Petaling Jaya,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, seorang wanita maut dan empat lagi pelanggan sebuah restoran cedera selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di kawasan berkenaan.

Wanita berusia 57 tahun itu sedang makan malam bersama anggota keluarganya di hadapan premis tersebut sebelum dilanggar pada kira-kira 8.15 malam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast