Hamdan Adnan

KUALA LUMPUR – Insiden membabitkan seorang individu dan jurujual sebuah syarikat minuman keras tidak akan berlaku jika semua pihak – dari pihak berkuasa tempatan, pasar raya dan syarikat minuman keras sensitif dengan perkara itu.

Isu membabitkan promosi arak bukan perkara baharu di Malaysia tetapi kelemahan pihak berkuasa dalam mengendalikan perkara itu mengakibatkan ia menjadi kemudaratan dan sehingga ke satu peringkat sekarang ia dilihat sebagai isu rasis.

Penasihat Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia. Prof. Dr Hamdan Adnan berkata, pihak berkuasa perlu menguatkuasa undang-undang dan peraturan yang jelas seperti terkandung dalam garis panduan berhubung isu arak ini kerana ia cukup sensitif bagi kelompok majoriti penduduk negara ini.

“Yang saya tahu sebarang promosi arak dan rokok secara terbuka tidak dibenarkan sama sekali. Jadi dalam kejadian itu kita sendiri tidak pasti bagaimana ia berlaku, di mana kedudukan jurujual semasa kejadian sehingga mencetuskan insiden tersebut. Kenapa individu itu boleh mendekati jurujual tersebut dan sebagainya.

“Kita yang membaca dan melihat video berkenaan hanya boleh membuat tafsiran sendiri tetapi kena lihat mengapa ia berlaku.

“Kejadian ini memang menimbulkan polemik tetapi apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa untuk memastikan ia tidak berulang lagi, itu adalah persoalan yang perlu dilihat secara serius,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Hamdan mengakui bimbang dengan keadaan semasa negara, menyifatkan isu-isu yang bertentangan dengan penduduk majoriti perlu dihormati.

Jelasnya, perkara-perkara seumpama ini boleh dibendung atau dielakkan jika semua pihak berkuasa termasuk pengendali pasar raya menghormati Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam Perlembagaan jelas mengenai tertib dalam mengurus dan memelihara negara, kalau semua menghormatinya, kena patuhinya.

“Kalau dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan Islam adalah agama Persekutuan, maka hormati agama itu termasuk peradabannya,” ujar.

Beliau yang menentang promosi minuman keras secara terbuka terutama di kawasan awam berkata, walaupun minuman itu dijual di seksyen berlainan di pasar-pasar raya, wajarkah aktiviti persampelan dijalankan kerana ia boleh mengundang rasa kurang senang golongan majoriti.

“Kalau nak buat promosi buatlah di premis tertutup. Kalau semua syarikat minuman keras menghormati sensitif ini, kemudaratan tidak akan berlaku.

“Syarikat minuman keras ini sebenarnya boleh menggunakan pelbagai cara pemasaran, asalkan bukan melakukan promosi yang mendatangkan kecelakaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette