KUALA LUMPUR – Musim cuti sekolah hujung tahun kali ini dimeriahkan dengan pameran ‘kucing’ comel, Hello Kitty dalam Pameran Our Sanrio Times terbesar di Asia Tenggara yang dibawakan khas di pusat beli belah Quill City di sini bermula hari ini.
Pameran di tapak seluas 1,400 meter persegi yang dibawakan oleh Alata Events dan Macepo itu bakal menampilkan 13 Zon Kenangan termasuk Kampung Sanrio yang menempatkan 100 daripada 400 watak dicipta oleh Sanrio sejak diasaskan pada tahun 1960.
Pengarah Alata Events, Albertt Leong berkata, pameran itu menampilkan Hello Kitty gergasi setinggi 3.5 meter sebagai tarikan utama selain kereta api mainan Sanrio serta model perkampungan Gift Gate di Gotanda, Tokyo yang dibuka pada 1970.
Tarikan kedua pameran ini ialah replika dompet syiling Hello Kitty iaitu barangan pertama ciptaan Sanrio yang dipamerkan buat julung kalinya di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Jelas Albertt, pameran dengan harga tiket berpatutan itu diadakan bersempena cuti sekolah, perayaan Krismas serta sambutan Tahun Baru sesuai dikunjungi keluarga terutama kanak-kanak serta peminat Hello Kitty dan pelbagai watak kartun yang mempunyai pengikut tersendiri harga tiket berpatutan dari pukul 11 pagi hingga 9 malam bermula esok hingga 6 Januari 2019.
“Dengan sokongan Sanrio Hong Kong dan Jepun, lebih 300 edisi terhad dan barangan vintaj Sanrio vintaj yang jarang ditemui bakal dipamerkan.
“Selain itu, pereka Sanrio dari Jepun turut hadir pada pameran ini untuk melakar watak pilihan selain mengajar peminat mencipta semula watak kegemaran mereka,” katanya.
Menurutnya, pengunjung akan merentasi zon tema berbeza seperti boleh merakam gambar untuk Instagram di “Dunia Plushy” selain menyaksikan lebih 2,000 boneka di dalam ‘Terowong Masa Sanrio’ yang membawa pengunjung mengenang semula semua watak klasik Sanrio yang dicipta saban tahun.
Leong berkata, Sanrio menjadi Jenama gaya hidup dunia dengan falsafah “Hadiah Kecil, Senyuman Besar” selama lebih 50 tahun melalui watak kartun di lebih 109 negara di mana Hello Kitty sahaja terjual lebih 50,000 barangan di seluruh dunia pada setiap tahun.
Sementara itu tiket boleh didapati menerusi www.ticketcharge.com.my atau di talian +603 9222 8811. Untuk maklumat lanjut, layari www.oursanriotimes.my atau our sanrio times Malaysia di Facebook atau Instagram oursanriotimes.malaysia.- MalaysiaGazette