Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai peserta ketika menyertai aksi lasak Warriors Challenge Kategori Terbuka Second Wave sejauh 11.2 km pada Pertandingan Warriors Challenge 3.0 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Mereka ada hak untuk meneruskan Himpunan Bantah Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diksriminasi Kaum (ICERD) yang telah mencetuskan kontroversi itu.

Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan sudah membuat keputusan untuk tidak menandatangani retifikasi ICERD.

“Itu hak mereka (blok pembangkang) untuk meneruskannya (Himpunan Bantah Retifikasi ICERD).

“Keputusan kabinet diputuskan secara konsensus..semua sudah bersetuju supaya tidak menandatangi ICERD namun hak mereka tetap kita hormati,” katanya kepada pemberita di Kejohana Lasak Warriors Challenge di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Kem Sungai Besi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desak sesetengah pihak yang mahu Himpunan Bantah retifikasi ICERD supaya diteruskan walaupun kerajaan sudah melepaskan hasrat untuk menandatanganinya.

Semalam, Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa kerajaan memutuskan tidak akan meratifikasi ICERD.

Bagaimanapun, sesetengah pihak menyifatkan keputusan itu sebagai agenda politik menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Rantau, Negeri Sembilan.- MalaysiaGazette