Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) merangkap Penasihat Kehormat Gagasan Tiga Malaysia (G3), Datuk Azwanddin Hamzah berjalan masuk ke dalam balai polis berhubung pengumuman daripada Timbalan Ketua Polis Negara terhadap sembilan individu yang dikehendaki di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 25 NOVEMBER 2018

AMPANG – Penasihat Kehormat Gagasan Tiga (G3), Datuk Azwanddin Hamzah sekali lagi mencabar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya menyamannya di mahkamah berhubung pendedahan yang dibuat oleh gabungan tersebut mengenai parti itu.

Beliau berkata, Guan Eng telah banyak kali mengugut untuk menyamannya namun, sehingga kini tindakan tersebut masih belum dibuat.

“Dua kali dah pemimpin DAP cuba untuk saman dan saya dah buka ruang pun untuk mereka saman.

“Sampai hari ini pun mereka tak saman. Saya cabar Guan Eng untuk saman, kita akan buka di mahkamah,” katanya kepada media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya (IPD) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azwanddin berkata, beliau tidak dimaklumkan oleh pihak polis berhubung arahan untuk beliau datang ke IPD.

Azwanddin dan tiga lagi pemimpin Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini hadir ke IPD tersebut untuk diambil keterangan.

MGF25112018_IPD AMPANG_14

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) merangkap Penasihat Kehormat Gagasan Tiga Malaysia (G3), Datuk Azwanddin Hamzah bercakap kepada media pada Solidariti G3 berhubung pengumuman daripada Timbalan Ketua Polis Negara terhadap sembilan individu yang dikehendaki di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 25 NOVEMBER 2018Selain Azwanddin, tiga lagi pemimpin dalam gabungan itu iaitu Pengerusi G3, Raggie Jessy; Timbalan Presiden JMM, Omar Salleh dan Setiausaha JMM, Hamdan Mohd Salleh turut dipanggil atas perkara sama.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dalam satu sidang media menyatakan pihaknya akan memanggil Azwanddin untuk disiasat berhubung tulisannya yang bertajuk ‘Kementerian Pertahanan kini berada dalam tekanan dan ancaman’ dalam blog pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut.

Menurut Noor Rashid, Azwanddin mendakwa rahsia-rahsia dalam negara telah banyak dibocorkan dan perkara itu boleh menjejaskan keselamatan negara.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan baru-baru ini dilapor berhasrat mahu mengambil tindakan saman terhadap gabungan itu kerana mendakwa isu ICERD merupakan agenda tersembunyi DAP yang dibawa oleh Guan Eng dan bapanya Lim Kit Siang bagi menghapuskan hak istimewa orang Melayu-Islam di negara ini.

Beliau mendakwa, G3 mempunyai agenda jahat dengan sengaja membakar sentimen masyarakat Melayu dan Islam dalam isu berhubung Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Difahamkan, seorang lagi pemimpin dalam gabungan itu Amran Ahmad Mohd Nor yang kini berada di Singapura turut akan dipanggil esok berhubung perkara sama.

Azwanddin dan tiga lagi pemimpin dalam gabungan itu diberi sokongan solidariti kira-kira 100 penyokong mereka. – MalaysiaGazette