Khalid Samad
Khalid Abdul Samad. foto HAZROL ZAINAL, 14 OGOS 2018.

SHAH ALAM – UMNO perlu dikuburkan buat selama-lamanya kerana parti Melayu itu hanya gemar membawa isu perkauman hingga merosakkan perpaduan rakyat dan negara ini.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, buktinya boleh dilihat di Sarawak apabila tiada isu perkauman timbul kerana kewujudan UMNO diharamkan di bumi kenyalang itu.

“Saya pergi ke Sarawak, saya tengok di Sarawak isu perkauman tak ada perkauman. Saya tertanya-tanya kenapa tiada perkauman, jawapannya kerana di Sarawak tiada UMNO.

“Kalau kita nak jamin perpaduan di negara kita, antara semua kaum, kita kena tentukan UMNO ini kita kuburkan. Tiada UMNO negara selamat,

“Ini kerana timbulnya masalah adalah kerana UMNO, yang ajar rakyat rasuah, adalah UMNO, bapa segala rasuah adalah pemimpin UMNO, yang merosakkan negara adalah UMNO,” katanya, di sini, malam ini.

Terdahulu Khalid selaku Ahli Parlimen Shah Alam merasmikan Sambutan Hari Deepavali 2018 anjuran Persatuan Kebajikan dan Sosial Kaum India U9 dan U10 di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Taman Alam Budiman, di sini.

Kehadiran Khalid ke majlis berkenaan sebagai satu perhargaan kepada masyarakat India Shah Alam yang menyokong Pakatan Harapan (PH) serta memenangkan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu.

Khalid juga berkata, Pas juga menjadi baik apabila ketiadaan UMNO di Sarawak.

“Di Sarawak Pas ada, bila UMNO tiada, Pas jadi parti baik, Pas tak ada bawa isu perkauman, bukan macam sekarang ini.

“Kalau kita tengok sekarang ini perhimpunan UMNO dan Pas, Melayu Islam, semua mahu cari gaduh.

“Tapi di Sarawak UMNO tiada, Pas pun diam, jadi parti baik. Di Sabah pun begitu, ada UMNO tapi baharu, dia tak berapa kuat, kalah dengan Warisan, maka dia pun tak ada pengaruh,” katanya.

Katanya lagi, masyarakat India perlu bersama dengan PH dan dengan cara itu Malaysia dapat diselamatkan daripada UMNO yang mahu memecahbelahkan rakyat berbilang kaum.

“PH parti baharu, kerajaan baharu, memang kita akan menghadapi banyak cabaran.

“Sekarang ini UMNO dengan Pas dia cuba pecahkan PH, dia nak guna bangsa dan agama supaya rakyat berpecah-belah.

“Saya harap masyarakat India akan sentiasa bersama dengan PH supaya insya-Allah kita boleh selamatkan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette