P.Prabakaran
P. Prabakaran

SUBANG JAYA – Pakatan Harapan (PH) menegaskan insiden pergaduhan antara dua kumpulan di kawasan Kuil Seri Maha Mariamman awal pagi tadi tadi tidak melibatkan isu perkauman seperti ditularkan di media sosial.

Ahli Parlimen Batu, P.Prabakaran berkata, pergaduhan yang menyebabkan lebih 10 kenderaan terbakar itu kerana perselisihan faham tentang isu bayaran pampasan pemindahan kuil berusia 140 tahun itu.

“Saya difahamkan, ia berpunca daripada perselisihan faham berkaitan isu pampasan dan pengosongan tapak kuil ini. Saya ingin menyatakan bahawa perkara ini luar daripada isu perkauman.

“Saya memohon seluruh rakyat Malaysia agar menghentikan serta-merta daripada meniup api perkauman. Ini bukan isu perkauman tapi ini isu kuil,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Kuil Sri Maha Mariamman petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, MalaysiaGazette difahamkan, sebelum pergaduhan tercetus, satu kumpulan yang dipercayai wakil pihak pemaju telah bertengkar dengan kumpulan lain.

Rakaman video berdurasi empat minit 50 saat yang tular di media sosial malam tadi menunjukkan beberapa kenderaan kelihatan terbakar selepas dua kumpulan berkenaan bertempur.

Dalam rakaman video yang sama juga polis kelihatan mengerah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan diletakkan dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang rusuhan yang lebih teruk.

Prabakaran juga berkata, ada pihak yang menjadi mangsa kepada kumpulan pro kuil tersebut semata-mata sebagai modal untuk memulakan rusuhan.

“Malam tadi kita dapat berita yang mengejutkan bahawa dengan isu rusuhan di kuil ini di mana sekumpulan pasukan yang dipercayai menjadi kambing hitam kepada sesetengah pihak bagi membuat rusuhan tersebut

“Saya memohon pihak polis untuk membuat siasatan menyeluruh supaya kita dapat tahu siapa yang membesarkan isu ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette