nafsiah
Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Datuk Nafsiah Ahmad (tengah) merasmikan pada Karnival Belia Membaca dan Hari Terbuka Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Budaya membaca dalam kalangan masyarakat telah mengalami transformasi yang kini boleh dilakukan secara digital seperti e-book.

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Datuk Nafsiah Ahmad berkata, kaedah itu merupakan medium membaca terbaharu khususnya dalam kalangan remaja dan belia.

Jelas beliau, menyedari hal itu pihaknya telah menyediakan gerbang tunggal (single gateway) kepada pelbagai sumber melalui platform Perpustakaan Digital Negara atau portal u-Pustaka.

“Kepelbagaian sumber maklumat yang tersedia di dalamnya sama ada dalam bentuk cetak atau digital boleh diakses secara global melalui internet dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat.

“Di sini kita dapat lihat betapa kerajaan telah menyediakan pelbagai platform kepada rakyatnya untuk membudayakan amalan membaca.

“Cuma langkah seterusnya adalah daripada diri kita sendiri sama ada menggunakan kemudahan yang ada atau kita terus memberi pelbagai alasan untuk tidak membaca,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Belia Membaca dan Hari Terbuka Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Nafsiah turut menggesa semua pihak sama ada golongan pemimpin, korporat, akademik dan pelajar agar berlumba-lumba mendapatkan ilmu dengan mengamalkan budaya membaca.

Menurutnya, hari ini masyarakat boleh membaca dari bahan bercetak atau secara maya namun yang penting adalah semangat untuk mendapatkan ilmu itu harus dijadikan ketagihan luar biasa. – MalaysiaGazette