Mohd Yahya Mat Sahri
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tanjong Karang, Mohd Yahya Mat Sahri

KUALA LUMPUR – Insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield tidak akan berlaku sekiranya semua pihak bertindak mengikut proses undang-undang sewajarnya.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tanjong Karang, Mohd. Yahya Mat Sahri berkata, sudah sampai masanya, isu-isu berkaitan agama dan kaum ‘dimatikan’ terus dan tidak perlu disemai apatah lagi dibajai.

“Kebijaksanaan secara bersama kita tuntut sama ada pihak kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, agamawan, budayawan, ahli akademik, ketua-ketua masyarakat, pihak berpengaruh serta semua pihak berkepentingan duduk bersama-sama di meja rundingan.

“Proses rundingan perlu dibuat secara berterusan, bukan hanya bila ada isu, baru rundingan dilaksanakan. Isu sebegini akan meresahkan masyarakat. Pelbagai anggapan serta tanggapan.

“Walaupun punca asal bukan isu perkauman atau agama, namun kerana keterlibatan daripada kumpulan-kumpulan seolah-olahnya daripada kelompak kaum dan agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas insiden Kuil Sri Maha Mariamman yang berusia 147 tahun itu telah mengakibatkan dua kejadian rusuhan pada awal pagi Ahad dan Selasa.

Dalam kedua-dua kejadian rusuhan itu, sebanyak 21 kenderaan dilaporkan terbakar manakala bangunan milik pemaju One City yang tidak jauh dari kuil berkenaan turut dirosakkan.

Mohd. Yahya juga berkata, pihaknya sentiasa meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap kecekapan dan keupayaan pihak berkuasa dalam memastikan insiden buruk itu tidak berulang.

“Saya penuh berkeyakinan agar pihak keselamatan mengambil langkah yang terbaik untuk memastikan keselamatan dan keamanan sentiasa terpelihara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette