Datuk Sheikh Haji Abdul Halim Abdul Kadir
Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengencam tindakan pihak tertentu cuba mengambil kesempatan dan membakar api perkauman dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya.

Yang Dipertuanya, Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir menegaskan, segala tindakan biadap yang mencetuskan ketegangan, melangkaui batas dan prinsip undang-undang tidak boleh dikompromi sama sekali.

“PUM menyeru semua pihak agar bertenang dan memberi sepenuh kepercayaan kepada kebijaksanaan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan dan mencari penyelesaian terhadap insiden tersebut.

“Semua pihak perlu mendapatkan berita sahih dan tidak menular sebarang berita atau maklumat tidak sahih bagi mengharmonikan kembali suasana yang wujud kini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas insiden Kuil Sri Maha Mariamman yang berusia 147 tahun itu telah mengakibatkan dua kejadian rusuhan pada awal pagi Ahad dan Selasa.

Dalam kedua-dua rusuhan itu, sebanyak 21 kenderaan dilaporkan terbakar manakala bangunan milik pemaju One City yang tidak jauh dari kuil berkenaan turut dirosakkan.

Sheikh Abdul Halim berkata lagi, pemimpin politik ataupun badan bukan kerajaan (NGO) khususnya pemimpin kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengelakkan ketegangan.

“PUM mengajak pihak berkenaan bersama bertindak sebagai agen penyatuan dengan mendukung prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Kontrak Sosial yang telah wujud.

“Mereka juga perlu saling memahami dan menghormati antara satu sama lain tanpa mengira fahaman agama dan bangsa.

“Sebarang bentuk rusuhan dan tindakan yang boleh menggugat keharmonian negara terutama dalam hal yang melibatkan kaum dan agama perlu dibantah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast