Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr. A. Xavier Jayakumar bercakap pada sidang media selepas melawat kuil susulan daripada insiden rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 28 NOVEMBER 2018.

SUBANG – Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar menyarankan agar semua pihak tidak membuat kesimpulan mengenai punca kecederaan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang parah semasa insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman.

Sebaliknya Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu mahu semua pihak menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat secara terperinci kejadian yang menimpa Muhammad Adib Mohd. Kassim.

“Kita jangan buat kesimpulan dengan apa yang dikatakan. Saya rasa berikan kuasa kepada polis untuk siasat selepas itu mereka akan ambil tindakan.

“Buat masa ini, saya tidak boleh buat komen sebab saya tidak boleh sahkan adakah kecederaannya disebabkan lain,” katanya kepada pemberita ketika hadir ke Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25 petang tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman V K Regu siang tadi yang mendakwa Adib yang parah dalam insiden rusuhan berhadapan kuil awal pagi semalam disebabkan kemalangan baru-baru ini.

Xavier turut meminta agar sembahyang hajat dibuat oleh semua rakyat walaupun berbeza agama untuk mendoakan Adib kembali sihat.

“Saya minta kepada semua kuil dalam Malaysia, semua gereja, masjid dan surau sembahyang berdoa agar Adib selamat,” tambahnya.

Dalam kejadian pada awal pagi Selasa lalu, Adib yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah, manakala jentera dinaiki turut dirosakkan kumpulan perusuh yang berhimpun di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman.

Anggota berkenaan diserang selepas pasukan bomba dari balai terbabit tiba di lokasi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, mangsa, Adib, 25 yang kini telah dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Mengulas lanjut, Xavier berkata perbincangan telah dibuat bersama-sama Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor akan mengumumkan kedudukan terkini kuil dan jalan penyelesaian terhadap isu kuil kontreversi ini dalam masa terdekat dan dijangkakan masalah akan selesai akhir minggu ini.

“Pendirian Perdana Menteri untuk menyelesaikan masalah yang ada di hadapan kita dan pertemuan sesama kita (menteri) telah dibuat dan bersetuju untuk mencari penyelesaian untuk masa depan negara kita,”ujarnya. -MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/11/28/adib-kemalangan-bukan-dipukul/