KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza melancarkan kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) SimplySiti Di Hati 2018 bermula bulan depan.
Jelas Siti Nurhaliza, kempen tersebut adalah kerjasama dengan Yayasan Institut Jantung Negara (IJN).
Beliau berkata, ia bertujuan mengumpul dana bagi membantu tiga kanak-kanak penghidap sakit jantung iaitu Lam Zhe Yi, 10 bulan, Muhammad Firas Adib Mohamad Zaki, 4, dan Mahaani Thayalan, 7.
Kanak-kanak malang itu memerlukan pembiayaan pembedahan yang dianggarkan sebanyak RM105,000.
“Dana akan dikumpulkan menerusi penjualan rangkaian produk Simplysiti. Sebanyak RM5 akan dimasukkan ke dalam tabung Yayasan IJN menerusi setiap pembelian melebihi RM100.
“Bagi menjayakan kempen ini, saya juga turun padang ke cawangan butik Creacion X SimplySiti dan Watsons terpilih pada 1, 2 dan 8 Disember depan bagi megajak orang ramai bersama-sama menyertai kempen ini,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis pelancaran kempen tersebut di sini hari ini.
Siti Nurhaliza yang sedang popular dengan lagu Anta Permana berkata, kempen yang dilancarkan sejak 2011 tersebut telah berjaya membiayai kos pembedahan 11 kanak-kanak pesakit jantung yang kurang berkemampuan.
“Dalam mengharungi hidup ini, nasib kita tidak sama. Jadi rezeki yang diperolehi tidak salah jika kita berkongsi sedikit untuk golongan memerlukan ini.
“Apatah lagi selepas bergelar ibu, hanya ibu bapa yang tahu apa tersirat dala hati mereka apabila anak-anak ditimpa penyakit.
“Saya mendoakan proses ini berjalan lancar dan kesemua kanak-kanak yang bakal menjalani pembedahan diberikan kesembuhan,” katanya lagi.
Mengenai pembabitannya menerusi sesi ramah mesra, Siti Nurhaliza akan berada di Creacion Johor Bahru pada pukul 12 tengah hari dan Watsons Batu Pahat pada 4.30 petang pada 1 Disember ini.
Pada 2 Disember pula, Siti akan berada di Watsons IOI City Mall, pukul 12.30 tengah hari dan Watsons Sogo pukul 4 petang.
Sementara itu, pada 8 Disember, Siti akan bertemu peminat di Watsons SACC, Shah Alam, pada pukul 1 petang. – MalaysiaGazette