Sivarraajh
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh (tengah) bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 29 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Perintah injuksi sementara yang dikeluarkan oleh mahkamah hari ini sedikit sebanyak akan membantu meredakan keadaan selepas rusuhan berlaku beberapa hari lalu di kuil Sri Maha Mariamman.

Naib Presiden MIC,Datuk Sivarraajh Chandran berkata, kejayaan peguam MIC ini juga akan memberikan hasil positif apabila pihak pemaju telah memberi berjanji untuk tidak menganggu kuil itu sehingga 11 Januari akan datang.

“Sekarang benda ni makin panas. Hari-hari ada orang datang, ada pihak penguasa yang mengganggu kuil, ada penganut tak selesa, mereka rasa terganggu, hari-hari polis terpaksa basah kuyup dalam hujan tunggu sana memastikan ketenteraman awam di sana.

“Saya percaya melalui injuksi ni, masalah-masalah ini boleh dikurangkan atau kita hentikan buat masa sekarang dan pemaju dah janji untuk tak akan kacau kuil itu buat sementara ini sehingga kita tahu keputusan kes tersebut,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Cameron Highlands itu berkata, kerajaan negeri Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Harapan turut mendapat kelebihan daripada perintah mahkamah ini kerana tidak perlu mengambil alih semula tanah kuil itu seperti mana laporan yang tersebar baru-baru ini.

“Saya ada terbaca, Menteri Besar berkata beliau mungkin akan keluarkan duit kerajaan negeri untuk beli tanah tersebut. Memandangkan kita sudah mndapat injunksi sementara beliau (Amirudin Shari) tak payah keluar duit sekarang, tunggu keputusan akhir, barulah kita akan bincang dengan beliau tentang masa depan tokong tersebut,” ujarnya lagi.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan bahawa barisan peguam MIC telah berjaya mendapatkan perintah injuksi sehingga 11 Januari tahun hadapan bagi penangguhkan sebarang keputusan mahkamah bagi One City Development Sdn Bhd (One City), bagi mendapatkan semula tapak kuil itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden MIC merangkap Ahli Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran.

Untuk rekod, mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak dengan kos permohonan tiga penganut Hindu kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 Subang Jaya untuk menangguhkan pelaksanaan interim penghakiman persetujuan dan writ milikan oleh One City Development Sdn Bhd (One City), bagi mendapatkan semula tapak kuil itu.

Hakim M Gunalan membuat keputusan itu di dalam kamarnya selepas mendengar permohonan plaintif, S Thangaraju, 37; M Mohanakrishnan, 59; dan S Nagarajah, 52.

Selain One City, ketiga-tiga mereka turut menamakan K Chellappa, Pengarah Perancang Bandar dan Desa Selangor, kerajaan Selangor dan M Nagaraju sebagai defendan.

Peguam Claudia Cheah yang mewakili One City ketika ditemui pemberita selepas prosiding berakhir berkata, mahkamah membuat keputusan itu atas alasan, antaranya, permohonan plaintif tiada locus standi dan One City adalah pemilik sah tapak kuil berkenaan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast