Amirudin Shari
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menolak dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan negeri telah mengeluarkan sejumlah wang untuk mengambil alih Syarikat Pengeuar Air Sungai Selangor (Splash).

Katanya, tuduhan itu tidak benar sama sekali kerana bagi urusan pengambilalihan itu kerajaan negeri tidak mengeluarkan walau satu sen pun.

“Di Dewan mulia ini, saya ingin menjelaskan kepada pihak berkenaan yang telah membuat kenyataan di luar dewan sebelum ini mendakwa pengambilalihan Splash melibatkan dana kerajaan negeri.

“Untuk makluman, dakwaan itu tidak benar, pengambilalihan Splash tidak libatkan dana kerajaan negeri dan tidak ada sebab langsung pengambilan dana ini.

“Kita dapat dana dari Kerajaan Pusat yang akan membolehkan kita menyediakan pengurusan air secara bersepadu,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2019 pada Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-14 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Menurut Amirudin, Kerajaan Pusat telah meluluskan peruntukan kira-kira RM1.9 bilion untuk pengambilalihan itu, manakala asetnya akan disewa semula kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Katanya, Air Selangor pula akan membuat pinjaman untuk tujuan penyewaan aset itu, tanpa ada kaitan dengan kerajaan negeri.

Mengenai keputusan kerajaan Selangor menarik semula skim bekalan air percuma, Amirudin berkata, pihaknya akan membuat kajian semula ke atas penerima sebelum ini, dengan menumpukan kepada golongan B40 sahaja.

“Sekarang ini ada 108 juta menggunakan air secara percuma dan jumlah ini semakin meningkat dari setahun ke setahun, oleh itu, kita akan kaji semula dan hanya berikan kepada golongan B40,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast