Pelabuhan Tanjung Pelepas

KUALA LUMPUR – Para perniaga yakin prestasi perniagaan yang lebih memberangsangkan pada suku tahun keempat 2018 berbanding suku tahun ketiga 2018.

Petunjuk keyakinan meningkat sedikit pada suku tahun keempat 2018 kepada +7.1 peratus berbanding +6.0 peratus yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, petunjuk keyakinan bagi sektor perkhidmatan meningkat untuk kali kedua berturut-turut, mencatatkan +18.8 peratus pada suku tahun keempat 2018 daripada +16.5 peratus pada suku tahun lepas.

Petunjuk keyakinan bagi sektor perdagangan borong dan runcit juga mengukuh kepada +13.2 peratus daripada +3.6 peratus.

Sementara itu, petunjuk keyakinan bagi sektor pembinaan terus menurun kepada -21.5 peratus pada suku tahun keempat 2018 berbanding -7.7 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Sejumlah 42.6 peratus responden bagi semua sektor yang diliputi menjangkakan hasil kasar mereka meningkat, manakala 14.8 peratus responden menjangkakan penurunan dalam hasil kasar.

Dari segi bilangan pekerja, 8.6 peratus pertubuhan menjangkakan peningkatan, manakala 7.2 peratus pertubuhan menjangkakan penurunan pada suku tahun keempat 2018, yang mendorong kepada imbangan bersih +1.4 peratus.

Prestasi perniagaan mengukuh pada suku tahun ketiga 2018 dengan imbangan bersih keseluruhan +4.1 peratus dan sektor perdagangan borong dan runcit (+14.2%) adalah penyumbang utama kepada peningkatan ini.

Imbangan bersih +13.9 peratus menunjukkan bahawa pertubuhan menyatakan hasil kasar meningkat pada suku tahun ketiga 2018.

Sejumlah 39.4 peratus responden melaporkan peningkatan, manakala 25.5 peratus daripada mereka menyatakan sebaliknya.

Secara keseluruhan, kebanyakan peniaga (74.9%) memaklumkan bahawa bilangan pekerja kekal tidak berubah pada suku tahun ketiga 2018.

Sementara itu, 17.4 peratus pertubuhan menyatakan bahawa mereka menggajikan bilangan pekerja yang lebih ramai dan selebihnya 7.7 peratus pertubuhan melaporkan penurunan.

Imbangan bersih +12.3 peratus menunjukkan bahawa pertubuhan menjangkakan prestasi perniagaan lebih menggalakkan bagi tempoh Oktober 2018 hingga Mac 2019 berbanding April hingga September 2018.

Peniaga di sektor industri (+9.3%), perdagangan borong & runcit (+23.1%) dan perkhidmatan (+18.7%) optimistik dengan keadaan perniagaan dalam tempoh enam bulan ke hadapan.

Sementara itu, responden di sektor Pembinaan menjangkakan situasi perniagaan mereka akan merosot dengan imbangan bersih -28.5 peratus. – MalaysiaGazette