Datuk Azhar Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – FGV Holding Berhad (FGV) telah membekukan semua pengambilan pekerja baharu daripada kontraktor luar merentasi operasinya dengan serta-merta.

Pembekuan ini hanya akan ditarik apabila syarikat berpuas hati dengan sebarang keraguan bahawa kontraktor mematuhi semua dasar, garis panduan dan prosedur operasi standard FGV.

FGV juga akan menyemak semula dengan serta-merta, manfaat yang dinikmati oleh pekerja ladangnya dan akan menyerap kos keperluan asas, termasuk bekalan makanan yang diberikan kepada pekerja.

“Kebajikan semua pekerja amat penting bagi FGV dan kepada saya secara peribadi. Pekerja ladang kami adalah tulang belakang FGV dan sumbangan mereka tidak ternilai.

“Kita mesti dan akan menyantuni semua pekerja kita secara adil tanpa mengira kewarganegaraan,” kata Pengerusi FGV dan Ketua Pegawai Eksekutif Interim, Datuk Azhar Abdul Hamid.

Untuk mengelakkan daripada menggantikan pekerja sedia ada yang telah dikontrakkan kepada FGV melalui pihak ketiga, syarikat itu berjanji untuk berunding dengan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk menggaji pekerja-pekerja ini secara langsung.

Rundingan ini akan melibatkan majikan mereka dan Kerajaan Malaysia.

Jelas Azhar, ia akan menjadi kepentingan terbaik bagi pekerja kontrak asing jika mereka bersetuju di bawah gaji yang ditawarkan walaupun FGV menyedari rintangan undang-undang dan prosedur.

“Tetapi kami akan berusaha untuk melakukan yang terbaik,” tambah Azhar.

Pada akhir tahun 2017, FGV komited memperuntukan RM300 juta untuk meningkatkan kemudahan perumahan bagi pekerja perladangannya.

Azhar menambah, FGV telah menubuhkan Pejabat Transformasi pada bulan Jun 2018 untuk menangani beberapa isu yang telah menjejaskan prestasi operasi.

Apabila penambahbaikan proses yang dirancang dilaksanakan, pekerja juga dapat mengesahkan pampasan mereka dengan tepat.

Berkenaan dengan penemuan bahawa syarikat telah menyumber luar pekerja asingnya kepada kontraktor luaran, FGV akan segera memulakan siasatan berhubung dakwaan itu. – MalaysiaGazette