Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Himpunan aman rakyat bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akan diadakan pada 8 Disember ini.

Pengarah himpunan, Kamaruzaman Mohamad berkata, perhimpunan bermula jam 2 petang di Dataran Merdeka itu bertemakan putih.

Beliau menasihatkan peserta himpunan agar memastikan melalui laluan “checkpoint” dan menerima arahan semasa daripada pimpinan masing-masing.

Katanya, lokasi perhimpunan yang telah ditetapkan ialah Masjid Negara, Masjid Jamek dan kompleks beli belah Sogo.

“Selepas selesai solat Zuhur berjemaah, para peserta akan bergerak ke lokasi masing-masing untuk menunaikan solat hajat.

“Kita mengingatkan setiap peserta agar tidak melakukan provokasi atau melayan sebarang provokasi dan segera melaporkan kepada pihak keselamatan himpunan jika melihat sebarang provokasi.

“Peserta mesti sentiasa mematuhi arahan pihak penganjur himpunan dari semasa ke semasa dan tidak bertindak mengikut emosi,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Tegas Kamaruzaman, himpunan itu diadakan secara aman dan jika ada mana-mana individu atau kumpulan yang tidak mematuhi arahan, tindakan tegas mengikut lunas undang-undang akan diambil.

Kata beliau, perhimpunan itu akan ditamatkan kira-kira jam 6 petang. – MalaysiaGazette