Seorang pelajar menunjukkan reaksinya selepas menerima skrol ijazah pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, Setapak, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 09 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Presiden MCA mencabar Lim Guan Eng untuk menubuhkan universiti DAP atau buat lebih baik berbanding parti itu.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong juga mencadangkan agar universiti DAP itu dinamakan Universiti Roket atau Universiti Harapan.

“Buktikan DAP boleh buat lebih baik daripada MCA. Pastikan yuran tuisyen rendah berbanding Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC.,” katanya Ka Siong ketika berucap pada majlis perasmian Perhimpunan Agung MCA hari ini, menurut laporan The Star.

Menurutnya, yuran pengajian TAR UC untuk kursus diploma adalah dari RM15,800 hingga RM18,200 dan RM31,000 hingga RM38,000 untuk kursus ijazah.

Sejak ditubuhkan, institusi pengajian itu telah menghasilkan 200,000 graduan daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Ditubuhkan oleh MCA sebagai Kolej Tunku Abdul Rahman (TARC) pada tahun 1968 dan dinaik taraf kepada kolej universiti pada tahun 2013, institusi itu telah menerima geran yang sesuai daripada kerajaan setiap tahun sejak tahun 1969.

Ia telah menerima sejumlah RM1.012 bilion dalam geran sepadan dalam tempoh 50 tahun yang lalu dan jumlah terakhir ialah RM30 juta dalam Bajet 2018.

Ka Siong menambah, Setiausaha Agung DAP dan Menteri Kewangan itu jangan dengki dengan kejayaan MCA dan TAR UC yang mempunyai rekod kecemerlangan selama 50 tahun dengan pendidikan berkualiti.

“Tiada pihak yang boleh mengambil TAR UC daripada MCA,” katanya sambil memberitahu parti itu mengutip sejumlah RM20 juta untuk membina kolej berkenaan 50 tahun lalu.

Katanya, tidak ada pihak yang boleh mengubah sejarah atau menafikan pencapaian TAR UC.

Malah, katanya, institusi itu telah diuruskan secara profesional dan menikmati kebebasan akademik sepanjang masa.

Ka Siong juga memberi amaran kepada Guan Eng untuk tidak melemahkan TAR UC kerana tindakan itu hanya akan merampas hak orang Cina untuk mendapatkan pendidikan yang baik. – MalaysiaGazette