Senarai 12 peguam yang terpilih dalam pemilihan Majlis Peguam 2019/2020

KUALA LUMPUR – Peguam yang menggerakkan petisyen membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD), Lukman Sheriff Alias terpilih dalam pemilihan Majlis Peguam.

Turut terpilih Yusfarizal Yusof yang juga gigih mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan menolak ICERD turut terpilih manakala calon-calon yang menyokong ICERD seperti Siti Kasim terkandas dalam pemilihan tersebut.

Mereka dipilih untuk tempoh 2019/2020.

Lukman dalam status yang dimuatnaik di Facebook berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sokongan dalam pelbagai bentuk kepada beliau dan rakan-rakan.

“Ini satu tanggungjawabjawab yang besar. Moga-moga diberkati Yang Maha Esa,” katanya.

Seorang lagi peguam yang terpilih Muhammad Rafique Rashid Ali turut berterima kasih kerana diberi peluang untuk membarisi ahli jawatankuasa badan peguam itu.

Beliau bagaimanapun terkilan kerana daripada 19,001 pengundi yang layak, hanya 29 peratus mengembalikan kertas undi mereka.

Katanya kemorosotan undi itu harus diberi perhatian oleh Majlis Peguam dan jalan penyelesaian masalah tersebut perlu dicari.

“Proses pemilihan mesti dibuat dengan cara yang lebih inklusif apatah lagi dalam keadaan Majlis Peguam merupakan degup jantung dan pusat gerakan untuk semua ahlinya,” katanya.

Beliau berkata, 12 peguam yang terpilih kali ini menyaksikan gabungan peguam muda dan senior yang dipercayai mampu bekerjasama dalam menjaga kebajikan pengamal undang-undang di seluruh negara.

Katanya, Majlis Peguam akan sentiasa menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar dan memihak kepada sesiapa, semestinya peranan tersebut lebih diperlukan dalam era Malaysia baharu.

Turut terpilih dalam pemilihan kali ini peguam terkemuka, Datuk Sulaiman Abdulllah. – MalaysiaGazette