Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Jumlah pelaburan langsung asing (FDI) bagi sektor pembuatan antara bulan Mei dan September meningkat kepada RM35 bilion berbanding RM7.3 bilion tempoh yang sama tahun lalu.

Jumlah FDI sektor pembuatan pula naik sebanyak RM27.7 bilion atau 379 peratus selepas peralihan kuasa pada 9 Mei lalu.

Lim Guan Eng berkata, peningkatan signifikan itu membuktikan keyakinan tinggi dalam kalangan pelabur asing ke atas Malaysia.

Menteri Kewangan itu berkata, jumlah ini tidak mengambil kira kelulusan baharu FDI dalam sektor pembuatan seperti pelaburan RM1.5 bilion yang akan dibuat dalam jangka lima tahun lagi dari syarikat Macron, sebuah firma yang tersenarai dalam Nasdaq, Amerika Syarikat.

Micron akan membina sebuah pusat pemasangan dan pengujian Solid-State Drive di Pulau Pinang.

Guan Eng berkata demikian dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas sindiran yang dibuat oleh Datuk Seri Najib Razak tentang kenyataan Guan Eng bahawa FDI naik 350 peratus untuk 9 bulan pertama tahun ini berbanding tahun lepas.

Bekas Perdana Menteri itu agak skeptikal dengan kenyataan Guan Eng itu berkata, rujukan FDI dari Bank Negara Malaysia dan Jabatan Statistik Negara menunjukkan kejatuhan teruk FDI bagi 9 bulan pertama tahun ini berbanding tahun lalu.

Malah, katanya, rizab antarabangsa negara semakin susut, unjuran ekonomi negara terus diturunkan, ringgit semakin jatuh nilainya, indeks bursa jatuh dengan pengaliran keluar dana asing dan kadar pertumbuhan KDNK ekonomi merosot untuk suku kedua dan suku ketiga.

Menjawab sindiran Ahli Parlimen Pekan itu, Guan Eng berkata, angka yang disebut oleh Najib itu merujuk kepada nilai pengaliran masuk sebenar FDI yang direalisasikan, yang direkodkan dalam dokumen Imbangan Pembayaran Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Nilai tersebut adalah satu petunjuk susulan dan ini bermakna angkanya lebih rendah dan semakin menurun mencerminkan kesan usaha yang dilakukan oleh pentadbiran dahulu sebelum peralihan kuasa berlaku,” kata Guan Eng.

Ini perlu dibandingkan dengan angka RM49 bilion yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang merupakan satu penunjuk pelopor bagi potensi pelaburan untuk sektor pembuatan.

Pelaburan FDI RM49 bilion yang diluluskan akan diambil kira pada masa hadapan dalam angka FDI yang terdapat
dalam dokumen Imbangan Pembayaran apabila pelaburan direalisasikan.

Katanya, di samping itu, jumlah penuh FDI pembuatan yang diluluskan akan direalisasikan secara progresif dari masa ke masa dan bukan secara sekaligus.

FDI yang direalisasikan akan mengikut jadual pembinaan kemudahan pembuatan seperti kilang-kilang yang boleh mengambil masa sehingga dua tahun.

Pihak kerajaan sedang memastikan FDI pembuatan yang diluluskan akan direalisasikan secepat mungkin bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast