Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berucap pada Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia 2018 di Institut Latihan Dewan Bandar Kuala Lumpur, Jalan Yaacob Latif, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, masih ramai rakyat yang tidak memahami tugas penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga sering meremehkan peranan mereka.

Keadaan ini menyebabkan berlakunya perselisiham faham yang sering tercetus di antara orang awam dengan anggota PBT yang sedang bertugas seperti yang pernah dipaparkan di media sosial.

Susulan itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan merangka dasar untuk meningkatkan pengetahuan kepada rakyat untuk memahami bidang tugas PBT.

Dalam masa yang sama, anggota kerajaan peringkat ketiga itu juga boleh meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.

“KPKT telah merangka suatu dasar, kita nak membudayakan  komuniti agar mereka faham peranan PBT dan mereka faham tentang tugas-tugas PBT dan PBT juga akan faham bagaimana  hendak mendekati rakyat secara keseluruhannya.

“Rakyat masih tidak faham tugasan PBT, pengetahuan mereka lemah tentang undang-undang dan panduan jadi mereka meremehkan tugasan penguatkuasa dan PBT.

“Jadi sudah tiba masanya kedua-dua pihak meningkatkan kualiti perkhidmatannya, yang satu meningkatkan kefahaman,” katanya kepada pemberita.

Zuraida tidak menafikan pilihan raya PBT boleh meningkatkan mutu perkhidmatan anggota PBT namun ia perlu diadakan setelah masyarakat faham tentang tanggungjawab yang digalas oleh mereka namun pelaksanaannya memerlukan tempoh.

“Negara-negara yang telah melaksanakan pilihan raya PBT, mutu kualiti pekerja PBT itu tinggi, pengetahuan juga tinggi jadi mereka banyak memahami polisi-polisi dan menguatkuasakannya.

Dalam usaha memberikan imej positif, KPKT juga tambahnya akan menyeragamkan pakaian seragam anggota penguatkuasa PBT seluruh negara bermula 2019.

“Sudah tiba masanya mengiktiraf kerja-kerja penguatkuasa PBT. Kejayaan suatu PBT berdasarkan kecekapan penguatkuasaan, jadi kalau ia dapat diangkat,  kita cuba menghapuskan pesepsi negatif mengenai penguatkuasa PBT.

“(Dengan) menukarkan imej baharu dari segi pakaian, kita berharap mereka akan dapat menghayati pekerjaan mereka,” tambahnya. -MalaysiaGazette