Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan seramai 83 individu bagi membantu siasatan berhubung rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Fuzi Harun berkata,  semua individu yang ditahan itu adalah rakyat tempatan.

Menurutnya, polis kini masih menjalankan operasi bagi menahan beberapa lagi individu yang dipercayai masih bebas dan terlibat dalam rusuhan berkenaan.

“Tindakan memburu suspek sedang dijalankan dan memang semua ada kaitan dengan kuil di Seafield,” katanya selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej UNIKOP ke 3, di Maktab PDRM, hari ini.

Fuzi berkata, jumlah tahanan insiden itu dikeluarkan oleh PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), setiap hari dan angka 83 orang itu adalah sehingga 8 pagi tadi.

Semalam sahaja, seramai 11 lagi individu direman di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kes kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman.

Semua mereka disiasat di bawah Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah).

Rusuhan itu mengakibatkan seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, mengalami kecederaan patah tulang rusuk serta beberapa kecederaan dalaman. – MalaysiaGazette