Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik ketika hadir pada pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2018
Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik ketika hadir pada pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik telah membentangkan pindaan terhadap tiga akta bagi membolehkan pelajar universiti mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti politik selepas ini.

Maszlee membentangkan tiga pindaan itu termasuk Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU), Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Tujuan pindaan itu adalah selain membenarkan pelajar aktif dalam politik, rang undang-undang itu tidak akan mengenakan sebarang tindakan displin atau dihukum kerana berpolitik.

Bagaimanapun, sebelum ini kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam janji manifesto memberi jaminan untuk memansuhkan AUKU yang bertujuan untuk melarang pelajar terlibat dengan apa-apa aktiviti politik.

Namun, ketika ia dibentangkan oleh Maszlee, akta-akta itu tidak dimasuhkan, sebaliknya meminda undang-undang sedia ada itu dan memberi kelonggaran bagi pelajar berpolitik.

Sebelum ini juga, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah memberi bayangan bahawa akta tersebut tidak akan dapat dimasuhkan terus sebaliknya perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat.

September lepas, Maszlee berkata, AUKU akan dimansuhkan dan diganti dengan undang-undang baharu.

Komitmen itu dizahirkan oleh Maszlee ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Pendidikan dalam sidang Dewan Negara ketika itu.

Untuk tempoh terdekat ini, kata Maszlee, kerajaan akan mengkaji semula Seksyen 15 dan 16 AUKU bagi memberi kebebasan bersuara kepada mahasiswa.

AUKU dikuatkuasakan pada tahun 1971 tetapi cengkaman terhadap golongan pelajar sebenarnya dibuat menerusi pindaan AUKU pada tahun 1975 oleh Tun Dr Mahathir yang semasa itu merupakan Menteri Pelajaran.

AUKU juga merupakan senjata untuk mengekang gerakan maharishi yang secara besar-besaran membantah langkah pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998.

Semasa era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, pindaan akta telah dibuat pada tahun 2012 bagi membenarkan penuntut universiti terbabit dalam politik dan memegang jawatan dalam persatuan serta pertubuhan di luar kampus. –MalaysiaGazette