Aset terbaru Jabatan Bomba pada Majlis Perasmian Pengoperasian Helikopter AW189 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Agustawestland Malaysia Sdn Bhd Subang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 04 DISEMBER 2018

SUBANG JAYA – Penambahan dua unit helikopter jenis Agusta Westland AW189 dijangka mampu meningkatkan perkhidmatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kepada rakyat di negara ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, dua aset terbaru JBPM bernilai RM210 juta itu menjadikan keseluruhan kepada sembilan unit akan beroperasi di seluruh negara dengan lebih berkesan.

“Saya harap dengan penambahan helikopter ini akan dapat meningkatkan lagi khidmat anggota bomba dalam misi menyelamat dan sebagainya.

“Ini juga merupakan satu pelaburan oleh Kerajaan Malaysia, di mana dua unit itu bernilai RM210 juta atau sebuah RM105 juta,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pengoperasian Helikopter AW189 JBPM di Agusta Westland Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Zuraida Kamaruddin
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin diiringi Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohamad Hamdan Wahid (dua kiri) dan Pengurus Besar Agusta Westland Malaysia Sdn Bhd (AWM), Vincenzo Alaimo (tiga kiri) bergambar kenangan pada Majlis Perasmian Pengoperasian Helikopter AW189 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Agustawestland Malaysia Sdn Bhd Subang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 04 DISEMBER 2018

Hadir sama Timbalan Menteri Luar Itali, Manlio Di Stefano, Duta Besar Itali ke Malaysia, Christiano Maggipinto; Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan dan Pengarah Urusan Agusta Westland Sdn Bhd, Alaimo Vincenzo.

Zuraida juga berkata, urusan pembelian dua unit helikopter berkenaan dibuat sejak dua tahun lalu secara kontrak tiga tahun.

“Ini adalah helikopter kesembilan kesemuanya di bawah KPKT menerusi JBPM dan dua unit ini merupakan tambahan sedia ada,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan pihaknya akan menambah aset pasukan beruniform itu pada masa akan datang, khususnya untuk kawasan luar bandar seperti Sabah dan Sarawak.

Sudah tentu kita perlukan penambahan lagi namun ia bergantung kepada kedudukan kewangan .

“Sudah tentu di kawasan luar bandar seperti Sabah dan Sarawak, kita memerlukan unit seperti ini untuk misi-misi menyelamat.

Zuraida Kamaruddin
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin meluangkan masa melihat aset terbaru Jabatan Bomba pada Majlis Perasmian Pengoperasian Helikopter AW189 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Agustawestland Malaysia Sdn Bhd Subang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 04 DISEMBER 2018

“Alhamdulillah, bomba telah menjalankan tugas dengan efisien dengan adanya tujuh helikopter. Dengan penambahan lagi dua unit sudah tentu akan meningkatkan lagi perkhidmatan mereka.

“Tujuh buah helikopter jenis ini akan berpusat di hangar Agusta Westland, Subang, manakala lain-lain satu di Bertam dan satu di Miri, Sarawak,” katanya sambil memberitahu operasi helikopter ini pula akan meliputi seluruh negara,” katanya.

Ditanya tentang misi bantuan ke luar negara, beliau berkata ketika ini JBPM telah menempatkan dua unit helikopternya di Palu, Sulawesi, Indonesia dalam keadaan berjaga-jaga bagi operasi menyelamat.

“Jika diperlukan, kalau ada bencana alam helikopter ini boleh digunakan untuk melakukan misi menyelamat di negara luar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast