Raja Kamarui Bahrin
Raja Kamarui Bahrin

KUALA LUMPUR – Kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong bahawa Malaysia terlibat dalam Operasi “Ops Yaman 2” di Yaman tanpa  kelulusan Kabinet amat mengejutkan.

Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Nasional (PAN), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, Timbalan Menteri itu memberitahu, ia melibatkan operasi logistik sementara “Ops Yaman 1” berkaitan operasi kemanusiaan evakuasi memindahkan rakyat Malaysia keluar dari negara itu.

Menurut beliau, Ops 1 ialah operasi pemindahan rakyat secara kemanusiaan, manakala Ops 2 pula melibatkan pengangkutan alat ketenteraan termasuk peluru dan bahan letupan untuk pasukan bersekutu Arab Saudi.

“Ops 2 tidak mendapat kelulusan Kabinet dan rakyat Malaysia yang tidak tahu wajib diberitahu kerana ia melibatkan pengangkutan alat serta bahan perang yang boleh dan telah pun membunuh ramai rakyat awam Yaman.

“Mustahil Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak tahu mengena hal itu dan kenapa mereka menyembunyi perkara itu dari rakyat Malaysia serta Kabinet?

“Hampir dua tahun saya menimbulkan persoalan di Parlimen adakah tentera Malaysia terlibat dengan Sekutu Arab Saudi dalam operasi menyerang Yaman, tetapi kerajaan Barisan Nasional (BN) menafikannya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, Liew menyatakan Ops Yaman 2 yang menempatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Arab Saudi sejak 2015 dihentikan pada 4 September lalu dan mendakwa operasi itu tidak mendapat persetujuan Kabinet.

Liew berkata, penarikan balik penempatan tentera itu dibuat selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) melihat ia tidak selaras dengan dasar pengecualian Malaysia.

Sementara itu, Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan dakwaan Liew dan bertanya, adakah Timbalan Menteri Pertahanan itu terlibat dalam mesyuarat Kabinet dahulu?.

Dakwa Raja Kamarul Bahrin, pelbagai bahan bukti beliau bawa ke Parlimen termasuk laporan tebal yang disediakan untuk Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang beberapa kali menyebut nama Malaysia dalam laporan tersebut.

Katanya, laporan mendakwa Malaysia bersama negara barat lain, iaitu Amerika Syarikat, Britain, Peranchis dan Arab Saudi terlibat di “Command Centre” untuk perang Yaman di sebuah ibu pejabat operasi di Riyadh. – MalaysiaGazette