Ambrin Buang

KUALA LUMPUR- Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang meminta media untuk bertanyakan sahaja maklumat berhubung siasatan terhadapnya hari ini kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Beliau yang ditemui oleh media sebentar tadi luar bilik PAC di Parlimen tergesa-gesa meninggalkan media sambil memberi isyarat tangan tidak mahu memberikan sebarang komen.

Sejurus selepas beliau berlalu, Pengerusi PAC, Datuk Dr Ronald Kiandee berkata, Ambrin telah memberikan kerjasama yang baik dalam isu dakwaan terdapat pindaan dalam siasatan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kata Ronald, pihaknya cukup berpuas hati dengan kerjasama yang telah diberikan oleh Ambrin hari ini.

“Beliau telah memberikan kerjasama yang baik hari ini berhubung dakwaan terdapat pindaan dilakukan dalam laporan audit 1MDB.

“Pihak PAC berpuas hati dengan keterangan beliau sebentar tadi dan isu berkisar kepada isu pindaan laporan audit itu,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, Ronald enggan mengulas lanjut berhubung siasatan berkenaan kerana proses tersebut masih berjalan dan belum selesai.

Dalam pada itu, Ronald turut mendedahkan pihaknya akan memanggil Ambrin kembali pada masa terdekat sekali lagi.

“Esok kita akan panggil Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad dan dan bekas pengarah Sektor Audit Kerajaan, Saadatul Nafisah keterangan saksi.

“Kita masih lagi dalam peringkat siasatan berhubung dakwaan yang telah dikeluarkan oleh Madinah, ramai dalam kalangan anggota PAC adalah pengamal undang-undang, kes ini makin menarik sebenarnya.

“Ambrin kita akan dipanggil lagi sekali dalam masa terdekat. Saya tidak dapat berikan perincian lagi ketika ini kerana laporan siasatan belum selesai. Peruntukkan undang-undang juga tidak benarkan media untuk berada di dalam atau anda boleh ketahui sendiri perkembangan kes,” ujarnya. -MalaysiaGazette