Muhamamd Adib Mohd Kassim menunjukkan tanda bagus semasa menerima kehadiran Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, baru-baru ini menerima kunjungan Datuk Seri Najib Razak pagi tadi.

Najib melawat Muhammad Adib bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Adib sudah mampu memberi tindak balas ketika beliau menyapanya.

“Alhamdulillah Muhammad Adib memberikan tindak balas ketika saya menyapa beliau,” kata Najib yang sedih dengan kejadian  yang menimpa anggota bomba itu.

Najib meminta semua rakyat Malaysia mendoakan agar Muhammad Adib segera sembuh dan kembali seperti sedia kala.

Muhammad Adib dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil tersebut.

Beliau yang mengalami cedera parah pada awalnya menerima rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya telah dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi membolehkan beliau mendapat rawatan terbaik.

Anggota bomba itu sudah tidak lagi menggunakan bantuan sokongan pernafasan kerana sudah boleh bernafas sendiri. – MalaysiaGazette