Tunku Ismail Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pulau Kukup akan dijadikan tanah Kesultanan selepas penwartaannya sebagai Taman Negara ditarik semula.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pulau itu akan mendapat perlindungan lebih baik selepas statusnya dari Taman Negara ditukarkan kepada tanah Kesultanan.

“Pada masa lalu beberapa taman negara telah diswastakan. Di Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mempunyai visi yang berbeza.

“Untuk melindungi semua Taman Negara dengan lebih baik Sultan Ibrahim telah bertitah bahawa semua Taman Negara akan diubah menjadi tanah Kesultanan,” kata beliau menerusi Twitter.

Meskipun begitu, kata Tunku Ismail, perubahan tidak mengubah status, polisi dan penggunaan taman tersebut, yang mana ia kekal sebagai Taman Negara.

Pulau Kukup, yang terletak di Pontian adalah salah satu tanah lembap yang ada di Asia Tenggara telah dijadikan Taman Negara sejak tahun 1997.

Ia juga adalah merupakan pulau paya bakau tanpa habitat kedua terbesar di dunia dan menjadi salah satu daripada lima lokasi Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) di Malaysia. – MalaysiaGazette