Antara peminjam membuat bayaran PTPTN di Menara PTPTN, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Potongan Gaji Berjadual (PGB) bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) didakwa tidak memberi keadilan kepada para peminjam.

Ini kerana, kaedah potongan itu tidak mengambil kira komitmen lain peminjam.

Lantaran itu, Pemuda Pakatan Harapan (PH) mendesak PTPTN mengkaji semula pelaksanaan skim potongan gaji berjadual (PGB) agar tidak membebankan anak muda dan golongan M40.

Menurut kenyataan bersama Adun Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof; Adun Ketari, Young Syefura Othman dan Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei mendakwa kaedah potongan itu ternyata tidak efisen kerana ia bersandarkan kepada pendapatan peminjam semata-mata dan perlu dikaji semula.

“Skim PGB ini tidak mengambil kira komitmen lain peminjam, antaranya potongan KWSP, pinjaman perumahan, pinjaman kereta dan kos pendidikan anak-anak dan lain-lain.

“Kami mendesak PTPTN mengkaji semula keseluruhan skim PGB ini agar lebih komprehensif dan tidak membebankan anak muda terutama golongan M40.

“Kami menyeru pertimbangan wajar daripada Pengerusi PTPTN untuk mengambil langkah segera menangguhkan skim ini dan berbincang dengan pemegang-pemegang amanah sebelum mengumumkan polisi baru yang lebih adil,” kata mereka menerusi kenyataan hari ini.

Tambah ketiga-tiga ADUN itu, kerajaan sebenarnya perlu sedar hakikat kebanyakan peminjam PTPTN daripada kalangan M40 namun bekerja di pusat bandar yang terbeban dengan kos sara hidup.

Justeru, skim PGB ini akan mengurangkan pendapatan boleh guna dan seterusnya akan lebih membebankan peminjam.

“Perlu diingatkan kebanyakan peminjam ini adalah mereka yang tinggal di bandar dan berada dalam kumpulan M40. Mereka ini adalah golongan yang tidak mendapat subsidi bersasar dan pada masa yang sama terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Skim PGB ini bakal mengurangkan pendapatan boleh guna mereka dan membawa malapetakan kepada kewangan mereka,” kata mereka lagi.

Jelas mereka, sekiranya Pakatan Harapan tidak mampu melaksanakan janji PTPTN seperti di dalam manifesto, sekurang-kurangnya kita mestilah berpegang kepada semangat dan tujuan janji kita.

“Kami faham bahawa setiap hutang perlu dibayar semula. Namun pinjaman PTPTN bukanlah seperti pinjaman lain.

“Ia adalah pinjaman pendidikan yang perlu diambil oleh pelajar jika mereka tidak mampu untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi. Pinjaman PTPTN bukanlah satu pilihan tetapi satu keperluan,” kata kenyataan itu lagi.

Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum lalu menjanjikan penangguhan bayaran PTPTN bagi mereka yang berpendapatan RM4,000 sebulan.

Namun, dalam kaedah baru PGB, potongan gaji ke atas peminjam dikenakan bagi mereka yang mempunyai pendapatan bermula RM2,000 ke atas mengikut peratusan tertentu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast